Jumaat, 28 Disember 2018 | By: iKhwan89

SAJAK : BILA AKU LIHAT LAUTAN

*BILA AKU LIHAT LAUTAN*

Bila aku lihat lautan.
Saujana mata memandang.
Luas tidak nampak tepi.
Ombak melambung dan menggulung, bergelora tidak berhenti-hentinya.
Menghempas dan memulas.
Bunyinya mengerikan dan menakutkan.
Dalamnya menggerunkan.
Gelap-gelita, melemaskan.
Hatiku membisikkan:
Kalau Neraka itu seperti ini.
Julangan apinya macam ombak yang melambung, membumbung.
Bunyi apinya macam bunyi angin yang memukul ombak.
Ombak yang sentiasa bergerak tidak henti-hentinya.
Kalau ia api Neraka membaham penghuni-penghuninya.
Tanpa hentinya.
Itu pun sudah cukup menyeksakan.
Aku tidak mampu menanggungnya.
Betapalah api Neraka Tuhan.
Entah berapa kali ganda dahsyatnya.
Lebih lagilah aku tidak mampu menerima azabnya.

Selepas Asar
02 - 05 - 1997

Selasa, 25 Disember 2018 | By: iKhwan89

SAJAK : SUDAHKAH MENGENAL DIRI?

*SUDAHKAH KENAL DIRI?*

Sudahkah engkau kenal diri engkau?
Mengenal secara maknawi dan rohani.
Kerana mengenal diri secara fizikal mungkin mudah dan senang.
Dapatkah engkau kesan ilmu yang engkau miliki itu sejauh mana nilainya mengikut Tuhan.
Sudahkah engkau dapat membaca ilmu yang engkau miliki itu sejauh mana memberi manfaat kepada agama dan dunia.
Apa engkau rasa dengan ilmu engkau?
Engkau berbanggakah atau bersyukur dan merendah diri?
Lebih-lebih lagi engkau kenalkah jiwa atau hati engkau?
Engkau dapat kesankah jiwa engkau tentang mazmumah dan mahmudahnya.
Bolehkah engkau menilai apakah yang engkau lintaskan di dalam hati engkau?
Kebesaran apa yang engkau rasa di dalam jiwa engkau?
Apa engkau rasa bila berbagai-bagai perubahan yang engkau lihat dan rasa.
Kalau engkau tidak perasan ini semua.
Atau ia berlalu begitu sahaja, engkau belum kenal diri engkau.
Jika diri engkau tidak kenal, lebih-lebih lagi diri guru engkau sudah pasti engkau tidak kenal?!
Kalau guru engkau sendiri engkau tidak kenal.
Wah, lebih-lebih lagi Tuhan engkau belum engkau kenal lagi.
Oleh itu mengapa engkau membesarkan diri tidak mahu dipimpin lagi?
Diri engkau sendiri pun engkau belum kenal?
Engkau mahu berjalan sendiri tanpa pimpinan?
Lebih-lebih lagi engkau ada cita-cita
hendak pimpin orang lain?
Jangan! Jangan!
Nanti engkau akan sesat dan menyesatkan orang lain.
Nilailah diri engkau!
Engkau patut jadi pengikut atau menjadi pemimpin?
Kalau engkau hendak jadi pemimpin,
engkau mesti kenal sungguh diri engkau.
Jika tidak bagaimana engkau hendak kenal diri orang lain.

Menjelang Maghrib
14 - 12 - 1999

Khamis, 13 Disember 2018 | By: iKhwan89

SAJAK : TUJUAN MENGENAL TUHAN

*TUJUAN MENGENAL TUHAN*

Mengenal Tuhan tujuannya agar segala usaha dan ibadah ada tempat tujuan yang hendak disembahkan.
Agar segala usaha dan ibadah tidak disia-siakan.
Mengikut syariat itulah disiplin hidup dan syiar-Nya.
Sekaligus nampak kelihatan di dalam kehidupan insan, ayat-ayat dan tanda-tanda kebesaran Tuhan.
Akhlak yang mulia pula itulah dia bunga-bunga yang indah pada diri-diri insan.
Dari situlah di dalam pergaulan manusia
di antara satu sama lain senang menyenangkan.
Bahagia membahagiakan, rindu-merindui untuk berjumpa.
Dari sinilah indahnya pertemuan di dalam pergaulan.
Kerana masing-masing di dalam diri membawa bunga.
Satu sama lain hibur-menghiburkan.
Suka-menyukakan dan menggembirakan.
Memanglah tabiat bunga sama ada bunga yang lahir mahupun bunga yang maknawi dan rohani.
Ia menyukakan, menghiburkan, menyenangkan dan menyejukkan mata dan hati.
Kalau bunga diri atau bunga-bunga maknawi dan rohani tidak ada.
Pertemuan manusia sesama manusia sangat menjemukan.
Bahkan di dalam setengah-setengah hal pertemuan itu sangat menakutkan.
Akibatnya pertemuan dan pergaulan itu
dibuat sebab terpaksa.
Tidak bergaul, manusia tidak boleh hidup bersendirian.
Kerana manusia itu satu sama lain perlu-memerlukan.
Tapi kerana masing-masing bunga diri sudah tidak ada.
Pertemuan dan pergaulan secara terpaksa itu sangat menyakitkan.

Menjelang Maghrib
16 - 10 - 1999

Ahad, 9 Disember 2018 | By: iKhwan89

SAJAK : DISIPLIN DIRI ORANG MUKMIN

*DISIPLIN DIRI ORANG MUKMIN*

Sudahkah kita mendisiplinkan diri.
Sampai waktunya kita sembahyang.
Bila sembahyang bolehkah mendisiplinkan diri tidak sembahyang seorang.
Di dalam pergaulan sanggupkah kita
mengutamakan orang.
Orang yang tersilap dan tersalah dimaafkan.
Orang yang bercakap kita sanggup mendengarnya.
Kita tidak akan bercakap kalau tidak ada manfaatnya.
Kalau orang menghina, kita diam sahaja
atau tidak menjawabnya.
Inilah di antara disiplin di dalam pergaulan.
Waktu lapang adakah kita berfikir.
Atau membaca atau menulis pengalaman.
Atau ilmu pengetahuan atau berzikir.
Agar masa tidak sia-sia dan terbuang.
Mampukah kita mendisiplinkan diri tidak mengata orang kecuali di sudut yang dibenarkan.
Kalau kita hendak tidur mampukah kita tidak tidur selepas Subuh dan selepas Asar.
Kedua-dua waktu ini adalah dilarang tidur
sebagai kebiasaan.
Tapi tidur di waktu siang iaitu waktu qailullah sebelum Zuhur digalakkan.
Apabila makan tidak suka makan seorang.
Bila mencari rezeki cari yang halalnya.
Tolak yang haram sekalipun banyak untungnya.
Bila berpakaian di hadapan ramai, bersopan.
Tertutup aurat badannya.
Sifat-sifat mazmumah dijauhi.
Terutama sombong dan dengki.
Bakhil dan tamak ditakuti.
Menzalim dan sewenang-wenang sangat dibenci.
Itulah sebahagian disiplin orang mukmin.
Banyak lagi.
Setakat ini sudahkah kita mendisiplinkan diri?
Inilah dia disiplin yang sejati.

Selepas Subuh
03 - 06 - 1997

Selasa, 4 Disember 2018 | By: iKhwan89

SAJAK : MASYARAKAT MUKMIN MEMANG UNIK

*MASYARAKAT MUKMIN MEMANG UNIK*

Masyarakat orang mukmin itu memang unik.
Orang-orang kaya, tidak sempat berlaku kaya.
Kerana apabila mendapat harta atau apa-apa nikmat, tidak sempat disimpan lama.
Terus sahaja diagihkan.
Dapat lagi, diagih lagi kepada orang yang patut menerimanya.
Begitu juga orang yang miskin, tidak jadi miskin berlama-lama.
Dia tetap diistilahkan miskin kerana sumber usahanya tidak ada.
Namun kehidupannya semakin tidak miskin.
Kerana masyarakat sentiasa mengutamakannya.
Setiap orang memikirkannya.
Kerana orang ramai tahu yang dia miskin.
Dia tempat sasaran pemberian orang ramai.
Kerana itulah di dalam masyarakat orang mukmin.
Orang kaya dengan orang miskin tidak jauh bezanya.
Yang berada tidak sempat kaya berlama-lama.
Atau tidak akan menjadi sangat kaya.
Kerana dia sentiasa sahaja menginfakkan hartanya.
Yang miskin pula tidak sempat miskin berlama-lama.
Atau tidak menjadi miskin sekalipun dia diistilahkan miskin.
Kerana dia tempat orang ramai mencurahkan sedekah dan bantuannya.
Begitulah indahnya hidup di dalam masyarakat orang mukmin.
Orang kaya sentiasa berkorban.
Orang miskin adalah tempat orang ramai memberi bantuan.
Akhirnya masyarakat mukmin sentiasa makmur.
Berkat dan rahmat Allah sentiasa mencurah-curah.
Kita merindui masyarakat yang beginilah.

Menjelang tidur
21 - 12 - 1999

Ahad, 2 Disember 2018 | By: iKhwan89

SAJAK : HIDUP INSAN YANG MALANG

*HIDUP INSAN YANG MALANG*

Alangkah malangnya seseorang itu diberi masa.
Itulah umurnya.
Tapi di dalam sepanjang masa itulah dia lalai.
Membuang-buang masa tidak keruan dan tidak tentu hala.
Alangkah malangnya Tuhan memberi harta pada seseorang.
Hartanya dibazirkan.
Digunakan pada perkara yang sia-sia.
Dia makan seorang, orang lain tidak dapat merasa kerana bakhilnya.
Mati hartanya tidak dibawa.
Bahkan akan menjadi bala.
Kerana di Akhirat kelak semua harta kepunyaannya dihisab.
Neraka yang maha dahsyat menunggunya.
Alangkah ruginya orang yang berilmu.
Ilmunya hanya untuk mencari kekayaan dan nama.
Untuk diucap dan dicakapkan.
Bukan untuk diamalkan.
Kalaupun diamalkan hanya sedikit sahaja.
Dia akan dicampakkan di dalam Neraka.
Lebih dahulu atau lebih awal daripada orang lain yang berdosa.
Alangkah ruginya orang yang miskin yang sombong.
Tidak sabar dengan ujian.
Derhaka dengan Tuhan kerana terlalu memikirkan kesusahan dirinya.
Di dunia sudahlah papa, di Akhirat Neraka pula.

Menjelang Tidur
08 - 08 - 2001


Ketika Cinta Bertasbih (instrument Hits) - Instrument
Mp3-Codes.com