Khamis, 17 Mei 2012 | By: iKhwan89

RINDU KU PADA MU...


“Ya Rasulullah,….”
“Demi Allah, aku tidak akan bertemu orang yang memberi kasih sayang kepadaku lebih daripada Rasulullah walaupun dari ibu dan ayah kandungku sendiri” .
Semua yang hadir terkejut dengan pendirian Zaid bin Harithah, tatkala diminta membuat pilihan antara terus tinggal bersama Rasulullah atau mengikut ayah kandungnya kembali ke pangkuan keluarga yang sangat merinduinya.
Atas pilihannya itu, Rasulullah saw telah memerdekakannya lalu mengambil Zaid sebagai anak angkat. Zaid mencipta sejarah besar apabila menjadi orang kedua menerima Islam selepas Sayidatina Khadijah. Bijaknya Zaid memilih untuk bersama Rasulullah, kerana itu beliau dapat bersama Allah dan mendapat keselamatan dunia akhirat.
Waktu itu jika bangsa Arab Quraisy tahu siapa Rasulullah saw, pasti tidak ada yang terkejut kerana siapa juga yang beriman dengan Allah pasti akan memilih Rasulullah saw.
Penciptaan Allah yang luar biasa ada pada Rasulullah saw, bahkan kerana Nur Muhammad itulah diciptakan dunia dan seisinya. Hakikatnya seluruh makhluk terhutang budi kepadanya. Akhlak Rasulullah yang luar biasa menarik manusia dan mahkluk Allah yang lain untuk merindui dan menyayanginya, sepanjang umur dunia.
Diceritakan dalam sejarah, pernah suatu ketika, beberapa pemuka Quraisy yang diketuai oleh Abu Lahab telah sepakat untuk menyakiti Rasulullah. Mereka telah melonggokkan sampah kotoran bahkan najis-najis perut dan isi dalaman haiwan di hadapan rumah baginda Rasul. Namun begitu Rasulullah tetap bersabar. Baginda membuang dan membersihkan segala kekotoran itu.
Kesabarannya yang luar biasa itu menjadikan Rasulullah saw seorang manusia yang mempunyai akhlak yang sangat luar biasa. Sepanjang sejarah dunia, belum ada manusia yang dapat menandingi akhlaknya.
Suatu ketika, sedang Rasulullah sujud di hadapan Kaabah, datang seorang kafir Quraisy, Uqbah bin Muayyith meletakkan najis isi perut unta ke atas kepala baginda Rasul. Namun Rasulullah saw terus khusyuk sujud ke hadrat Allah sehinggalah Sayidatina Fatimah datang bersama tangisan sambil membuang kekotoran tersebut.
Sedih dan pilu hati puteri kesayangan Rasulullah saw itu melihatkan kejahatan kuffar Quraisy terhadap ayahandanya. Namun Rasulullah tetap tidak marah atau mengamuk terhadap kuffar Quraisy. Baginda hanya berdoa untuk mendapat pembelaan Allah terhadap agama Islam.
Mulianya hatimu ya Rasulullah ! Kemuliaan akhlakmu menambahkan kerinduan kami umatmu di akhir zaman ini.
Kini usia baginda 1486 tahun, 63 tahun secara zahir, selebihnya mentadbir dunia beserta umatnya dari alam ghaib. Telah lebih 14 kurun jasad Rasulullah saw meninggalkan kita. Namun ada sekelompok manusia akhir zaman yang merasakan Rasulullah sangat dekat di hati-hati mereka, bahkan merindu yang sangat dalam terhadap Rasulnya.
Di akhir zaman, Allah datangkan seorang hambanya dari kalangan manusia biasa tetapi menjadi manusia yang paling ajaib di zamannya, kerana akhlak, ibadah, perjuangannya bahkan peribadinya adalah bayangan Nabi Muhammad saw. Beliau dapat menghubung-jalinkan hati umat akhir zaman dengan Rasulullah saw. Dialah, Abuya Putera Bani Tamim yang telah dapat membawa hati para pengikutnya untuk rindu dan terkenang-kenang kepada Rasulullah saw. Kerinduan untuk keselamatan dunia akhirat.

Ketika Cinta Bertasbih (instrument Hits) - Instrument
Mp3-Codes.com