Rabu, 25 Mac 2015 | By: iKhwan89

GENERASI HARAPAN : 16 BERADIK MENGORAK LANGKAH

16 beradik dalam GH
Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Atas dasar hubungan adik-beradik yang sangat erat, pada 2009 tertubuhlah kumpulan seni budaya yang dinamakan Generasi Harapan (GH). Dianggotai 16 beradik daripada empat ibu dan satu bapa, GH sudah menghasilkan lima album termasuk yang baru dilancarkan kelmarin berjudul Takkan Terputus Lagi Hati Dengan Mu.

Empat album yang terdahulu, Allah Itu Maha Besar, Islam Itu Maha Benar, Pembela Al-Quran, Ramadan Dan Syawal Bersama Rasa Kehambaan dan Allah Ve Rasul Fidaisi (versi bahasa Turki).

Ditemui pada pelancaran album itu kelmarin yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Nur Effendy Production, Datuk Noor Effendy Mohamed, daripada 16 anggota hanya empat saja yang muncul kerana yang lainnya ada yang menetap di Timur Tengah, United Kingdom, Indonesia dan Arab Saudi.

Kemunculan Muhammad Fida’ Uddin a Asaari, 25, Muhammad Ajwad Asaari, 24, Ummu Mubarokah Asaari, 21 dan Fat Hiyyah Asaari, 20 sebagai mewakili saudara mereka yang lain berkata, kehadiran mereka dalam industri nasyid tanah air bukan untuk bersaing dengan kumpulan sedia tetapi sebagai memeriah dan menceriakan lagi suasana serta bersama-sama berdakwah bagi menegakkan syiar Islam.

Jika sebelum ini album mereka dilancarkan di luar negara kerana GH juga mempunyai perniagaan di sana, namun kali ini jelas Ajwad, mereka mahu membuat kelainan memperkenalkan album terbaru itu di sini demi mendekati peminat di tanah air.

“Sudah lama kami merantau di luar kerana belajar dan menguruskan perniagaan keluarga, kini tiba masanya kami balik menjenguk kampung halaman sendiri. Itupun tidak semua 16 anggota dapat balik kerana ada yang masih belajar lagi.

“Selain Kuala Lumpur, album ini juga dirakam di beberapa studio luar negara di mana adik-beradik kami belajar iaitu di Manchester, Jordan, Turki dan Indonesia agar lebih mudah kerana sukar untuk mengumpulkan semuanya pada satu masa. Proses rakaman seperti itu dilakukan sejak album pertama lagi dan Alhamdulillah ia berjalan lancar.

“Apa jua halangan dan rintangan terasa mudah kerana kami melakukannya untuk mencari kebaikan di jalan Allah SWT,” katanya.

Menceritakan lagi keistimewaan semua adik-beradik itu, jelas Aswad, mereka semua dianugerahkan pelbagai bakat seni seperti penciptaan lagu, lirik dan komposer. Mereka semua juga memiliki suara yang merdu.

“Lantaran itu tiada masalah untuk kami memenuhi undangan persembahan di mana saja. Siapa yang tidak sibuk dengan kuliah dan sebagainya akan membuat persembahan,” katanya.

Peminat lagu ketuhanan di Indonesia, Singapura, Thailand, Brunei, Australia dan negara di Timur Tengah sudah tidak asing lagi dengan GH kerana mereka kerap membuat persembahan di negara-negara itu.

Agar melodi dan lirik menjadi serasi dengan peminat di setiap negara dilawati, lirik ditulis dalam bahasa Inggeris, bahasa Turki dan Arab.

“Pun begitu dek kerana lagu adalah satu perkara yang universal, tanpa me­ngira dikarang dalam bahasa apa sekalipun dan berpaksi kepada tujuan murni memuji Allah SWT dan agama-Nya, ia tetap meresap ke jiwa setiap yang mendengar.

“Kami mahu melaungkan nama Allah SWT di seluruh pelosok dunia dan pembabitan kami dalam bidang seni bukan untuk mencari keuntungan. Apa yang diutamakan mesej yang tersemat dalam lagu kami ‘sampai’ kepada masyarakat.

“Allah SWT juga mempermudahkan niat baik kami apabila album itu yang dihantar untuk dibuat tapisan dan penilaian kepada JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor), mendapat kelulusan dalam masa dua hari saja. Pihak RTM (Radio Televisyen Malaysia) juga tiada masalah untuk memutarkan lagu kami,” katanya.

Album itu menyisipkan 17 lagu - Huru Hara, Tipu Daya Dunia, Roda Kehidupan, Berkali Sudah, Kemuliaan Rasul, Sang Pencipta, Hikmah Al-Quran, Carilah Syafaat, Wahai Jiwa, Perjuangkan Tuhan, Aku Menangis, Aku Milikmu, Keluarga Suci, Palestin Kita Tercinta, Nama Mu Allah dan Tuhankan Ada.

Selain kecintaan mereka yang mendalam terhadap seni, kumpulan itu juga membuka Akademi Generasi Harapan yang menjadi pusat latihan mengajar pelajar dalam bidang seni budaya, penulisan skrip, sistem audio, multimedia, fotografi, video dan penghasilan produk GH. Akademi itu juga ada pusat latihan berkuda.

Satu lagi perniagaan mereka ialah GH Corner untuk melatih pelajar menceburi bidang perniagaan mengkhusus kepada pengurusan restoran.

Artikel ini disiarkan pada :
Rabu, 25 Mac 2015 @ 1:28 PM


Ketika Cinta Bertasbih (instrument Hits) - Instrument
Mp3-Codes.com