Jumaat, 1 Februari 2019 | By: iKhwan89

SAJAK : TERTIPU DALAM PERJUANGAN

*Tertipu Dalam Perjuangan*

Ramai pejuang-pejuang berani berjuang menentang musuh-musuh lahirnya.
Mereka terlalu ghairah, berjuang menumpaskan musuh-musuh yang nampak di mata.
Tapi malang sekali, mereka lemah berjuang terhadap musuh batinnya.
Iaitu nafsu dan syaitan yang amat jahatnya.
Bahkan setengah-setengah pejuang tidak minat langsung hendak berjuang terhadap musuh-musuh batinnya.
Lantaran itulah di dalam perjuangan mereka jadi militan, ganas, kasar dan buas.
Maki hamun orang, hasad dengki bukan kepalang, sombong takbur pakaiannya, jatuh-menjatuhkan budaya mereka.
Di dalam mereka berjuang, mereka dikudakan oleh hawa nafsu mereka.
Waktu mereka berjuang, syaitan jadikan mereka bola, disepaknya
dan diterajang ke mana-mana.
Mereka sangka wira-wira agama dan bangsa.
Sebenarnya mereka adalah petualang-petualang.
Mereka menyangka mendapat pahala, sebenarnya derhaka, bala dan Neraka.
Sebenarnya musuh-musuh pejuang bukan manusia tapi nafsu dan syaitan.
Berjuang terhadap manusia untuk diislamkan dan yang Islam hendak ditingkatkan Islam mereka.
Agar mereka terselamat daripada Neraka.
Pejuang yang sebenarnya  adalah penyelamat, bukan pembunuh dan pemusnah.
Nafsu dan syaitan adalah musuh-musuh batin yang amat jahatnya.
Kerjanya hendak menjadikan manusia termasuk pejuang-pejuang menjadi derhaka.
Hendak menjadikan mereka, agar Allah Taala murka.
Supaya mereka semuanya masuk Neraka wal’iyazubillah.
Begitulah cita-cita nafsu dan syaitan yang durjana terhadap manusia.
Sepatutnya kita manusia sibuk berjuang terhadap nafsu dan syaitan.
Mereka itulah musuh-musuh utama manusia.
Mereka memerangi kita tidak pernah rehat-rehatnya setiap detik dan masa.
Di masa kita berjuang memerangi musuh lahir itulah mereka mengambil peluang.
Diharu-birunya kita agar kita tersesat jalan.
Ditipu-dayanya kita agar kita menjadi ganas dan militan.
Didorong kita agar kita mengorbankan kasih sayang sesama manusia.
Diputuskannya silaturrahim, dipecah-belahnya kita, diporak perandakan perpaduan.
Padahal kasih sayang itulah yang disukai oleh Tuhan.
Kasih sayang itulah yang diperlukan oleh semua manusia tidak kira apa bangsa.
Engkau berjuang korbankan kasih sayang yang dikehendaki oleh nafsu dan syaitan.
Rupanya engkau berjuang bukan membawa kemajuan dan kejayaan.
Tapi perjuangan kamu mendorong dan mengundang kejayaan nafsu dan syaitan.
Sebenarnya engkau tertipu di dalam perjuangan.

24.10.2002

Selasa, 8 Januari 2019 | By: iKhwan89

SAJAK : MANUSIA BERSIFAT HAIWAN

*MANUSIA BERSIFAT HAIWAN*

Hamba Allah itu jika sifat insaniahnya punah lahirlah sifat haiwaniahnya.
Rupanya manusia jiwanya haiwan.
Wajahnya manusia tabiatnya binatang.
Berbagai-bagai haiwan ada di dalam jiwa insan.
Tabiat babi, buruk makan dan sangat membawa kekotoran.
Tabiat anjing adalah tamak, apa sahaja hendak dijadikan rebutan.
Akhirnya berkelahi sesama insan, macam anjing mendapat tulang.
Bertabiat kuda, suka menendang.
Menggambarkan keangkuhan dan kesombongannya.
Bertabiat lembu atau kerbau, bodohnya dan bebal payah diajar.
Di dalam bodoh-bodoh pun suka menanduk sekalipun tuannya.
Bertabiat musang, suka menipu daya.
Kerja musang mencuri dan mengambil ayam-ayam dan buah pisang orang.
Begitulah manusia yang bersifat musang,
suka sahaja menipu orang.
Bertabiat singa, garang dan menerkam.
Manusia yang suka menzalim dan menganiaya orang.
Tanpa belas kasihan.
Yang penting mendapatkan mangsanya agar perut kenyang.
Bertabiat ular sawa, apabila kenyang aktif tiada.
Suka tidur-tidur sahaja.
Begitulah manusia ada yang apabila terlalu kenyang, malas pun tiba.
Suka tidur dan rehat-rehat sahaja.

Menjelang tidur
07 - 10 - 1999


Ketika Cinta Bertasbih (instrument Hits) - Instrument
Mp3-Codes.com