Rabu, 12 Oktober 2016 | By: iKhwan89

SAJAK : ALAF INI PERISTIWA KARAMAH MAIN PERANAN...

Di alaf ini bukan pemidato-pemidato yang akan menyelesaikan masalah

Bukan forum-forum di atas pentas dan pembentangan kertas kerja

yang berperanan mengubah sikap

Tidak juga ceramah-ceramah ahli politik dan pendakwah-pendakwah yang main peranan

Kerana mereka ini sudah lama memecah-belah

Yang sebenarnya di alaf ini adalah peristiwa karamah yang main peranan

Perubahan berlaku disebabkan barakah dan karamah

Karamah dan barakah pemimpin yang bertaqwa dan pengikut

yang bertaqwa menyelesaikan masalah

Berlakulah khawariqul 'adah, terjadilah perkara-perkara yang di.luar logik akal

Dengan sebab mereka, orang ramai diberi barakah dan dipermudah membuat perubahan

Dengan kedatangan mereka, orang ramai beriman semula

Islam diamalkan, akhlak mulia berbunga semula menghiburkan jiwa

Rezeki melimpah ruah, makan, minum, pakaian mewah

Keamanan dan keselamatan wujud semula di mana-mana

Ukhuwah dan kasih sayang terjalin dengan eratnya

Hidup satu sama lain penuh harmoni

Ketakutan dan kebimbangan hilang di tengah kehidupan

Perempuan-perempuan yang berjalan keseorangan tidak akan diganggu

Bahkan orang ramai sama-sama menjaga maruah mereka penuh bertanggungjawab

Setiap orang dihormati mengikut kedudukan dan darjat

Masing-masing mengutamakan orang lain

Tidak ada manusia yang terbiar terutama di sudut makan minum

Orang yang hendak berlakon dan pura-pura, malu dengan sendiri

Di waktu itu orang ramai tidak mengukur ilmu dan petah bercakap

Tapi siapa yang bertaqwa dan berakhlak mulia merekalah yang dihormati


Abuya Sy.Imam Ashaari Muhammad at-Tamimi
16.1.2000 (9 Syawal 1420)
Lepas Asar

Jumaat, 7 Oktober 2016 | By: iKhwan89

SAJAK : JANGANLAH TERTIPU DENGAN SANJUNGAN DAN KEMAJUAN


Janganlah engkau rasa bangga, engkau dimuliakan orang,

engkau anggap diri engkau mulia

Para Rasul dihina orang, dia tetap mulia di sisi Tuhan, dia pula tidak merasa mulia

Orang muliakan engkau tidak semestinya  engkau orang mulia

Jangan, jangan Tuhan hendak tipu engkau secara istidraj

Kerana engkau sudah derhaka kepada-Nya kemudian terjun ke Neraka

Orang memuji-muji engkau, engkau terpesona

Engkau rasa luarbiasa, ada jasa

Para Rasul dicaci-maki orang, apakah mereka  hina?

Engkau dipuji orang apakah engkau mulia?

Ramai pengikut engkau petanda engkau berjaya?

Tanda Tuhan muliakan engkau?

Para Rasul pengikut mereka sedikit, apakah tanda mereka  gagal, apakah tanda Tuhan menghina mereka?

Sedikit pengikut itu tanda kebenaran

Membawa kebenaran itu adalah tanda kejayaan

Membawa kebenaran itu tanda Tuhan suka dan redha

Engkau tidak dicaci orang, engkau membuat kemajuan tanda engkau berjaya

Ukuran berjaya bukan kerana sanjungan orang, tidak juga kerana kemajuan

Para Rasul dicemuh orang, dikata gila, dituduh tukang sihir, tidak ada kemajuan

tetap Tuhan sayang

Ia tetap diakui oleh Tuhan orang yang berjaya,

Berjaya atau tidak bukan ukuran insan

Berjaya atau tidak adalah ukuran Tuhan

Janganlah engkau tertipu oleh kemajuan dan sanjungan orang

Perjuangan engkau juga cepat dapat orang, senang, kurang ujian  janganlah bangga

Para Rasul perjuangan mereka menderita, sengsara, dikejar-kejar, diburu-buru,

Berkelana, dia tetap orang Tuhan

Engkau dengan sanjungan, kemajuan, kemewahan, kesenangan, kurang cabaran,

bukan cara itu keredhaan Tuhan

Engkau kurang mendapat musuh tidak mesti dimuliakan Tuhan

Para Rasul banyak musuh mereka, tetap dimuliakan Tuhan

Janganlah sampai engkau tertipu oleh kesenangan

Para Rasul tidak pernah mendapat kesenangan

Mereka tetap disanjung Tuhan

Janganlah engkau rasa gembira dengan pengikut engkau yang ramai

Para Rasul gembira dengan pengikutnya yang sangat kurang tapi setia

Mereka  tetap disayangi dan diredhai Tuhan

Engkau masih menjadi tanda tanya

Apakah Tuhan redha dengan engkau atau sebaliknya?

Janganlah engkau gembira, ditakuti di sebalik kegembiraan itu

akan disusul dengan dukacita dan penyesalan

Abuya Sy.Imam Ashaari Muhammad at-Tamimi..
14.9.2004
Menjelang tidur

Selasa, 4 Oktober 2016 | By: iKhwan89

ULAMA YANG BUKAN BIDANGNYA

Hari ini kalau seseorang dia bukan pengajian kedoktoran dan perubatan,

dilarang menjadi doktor bahkan satu kesalahan

Begitu juga seseorang bukan ada sijil pendidikan

tidak dibenarkan menjadi guru kerajaan

Katanya bahayanya banyak, daripada kebaikannya

Tapi malang sekali di bidang agama tidak mengikut kaedah ini

Sesiapa yang bukan daripada pengajian Islam

atau tidak pernah mengaji tentang Islam

dilarang memberi fatwa dan pandangan

Di bidang agama dibenarkan pula sesiapa sahaja

boleh memberi pendapat dan pandangan

Bahkan ada yang memberi tafsiran tersendiri

tanpa tahu ilmu tafsir dan kaedah-kaedahnya

Ada yang mengeluarkan hukum,

padahal tidak pernah belajar ilmu hukum-hakam

mengikut kaedah ilmu feqah

Ada yang berani menolak apa yang ada di dalam kitab

katanya sudah tidak sesuai lagi atau tidak relevan lagi

Lebih-lebih lagi ada yang sangat berani

padahal satu hari pun tidak pernah masuk sekolah agama membuat ijtihad sendiri

Ayat-ayat Al Quran ditafsir sesuka hati

As Sunnah diberi huraian sendiri tanpa tahu kaedah istinbatnya

Banyaklah pendapat ulama dahulu dan sekarang ditolak buta-buta

Seolah-olah mereka lebih ulama daripada ulama daripada setiap zamannya

Bahkan ada yang sangat berani menyesatkan orang yang tidak sependapat

Bagaimanalah rakyat tidak haru-biru, dan pecah-belah dibuatnya

Orang yang tidak layak berlagak ulamak

Padahal di bidang ilmu kedoktoran dan perubatan

dilarang sama sekali campurtangan kalau bukan bidangnya

Bahkan sesiapa yang melanggar akan dihukum mengikut undang-undang

Di bidang ilmu perubatan pantang-larang sangat campurtangan

orang yang bukan berkenaan

Tapi lain sekali, di bidang agama sesiapa sahaja boleh campurtangan,

sesiapa sahaja boleh jadi ulama

Sekalipun satu hari pun tidak pernah menjadi murid di sekolah agama

Akibatnya ramailah rakyat yang rosak akidahnya

Yang betul akidahnya ditolak, dianggap sesat pula

Begitulah kalau orang menjadi ulama bukan bidangnya


Abuya Sy.Imam Ashaari Muhammad at-Tamimi...
2.1.2003
Selepas Subuh

Ahad, 2 Oktober 2016 | By: iKhwan89

SAJAK : BULAN MUHARRAM BULAN KEMENANGAN

Sempena Bulan Milad Abuya Sy.Imam Ashaari Muhammad at-Tamimi ;

BULAN MUHARRAM BULAN KEMENANGAN..

Tahun baru Islam,
Tuhan pilih bulan Muharram

Kerana di dalamnya berlaku
beberapa peristiwa besar di dalam sejarah Islam
untuk dikenang dan menjadi pengajaran

Diharamkan peperangan di bulan ini,
kecuali musuh mengundang

Tahun baru Islam diambil sempena
hijrah Rasul ke Madinah mencari tapak Islam

Muharram telah menempa sejarah gemilang,
bagi pejuang-pejuang Tuhan
dan pejuang-pejuang kebenaran,

Mereka diberi kemenangan besar,
di bulan Muharram, yang patut dikenang

Kemenangan-kemenangan kecil berlaku juga,
tapi di luar Muharram.

Tapi bukan setiap Muharram umat Islam diberi
kemenangan besar-besaran
seperti yang diceritakan

Setelah CUKUP ketaqwaan mereka
dan setelah TINGGI disiplin mereka

biasanya kemenangan itu
diberi oleh Tuhan di bulan Muharram

Cuma setiap zaman kemenangan itu diberi,
angkanya, tarikhnya tidak sama,

ada 1 Muharram, ada 10 Muharram
dan lain bilangan di dalam Muharram

Apabila syarat-syarat pejuang-pejuang Islam itu sudah ada,
Di bulan Muharramlah Allah Taala anugerahkan kemenangan

Yang penting diceritakan di sini apakah syarat-syaratnya
kemenangan itu dianugerahkan?!

Untuk panduan para pejuang setiap zaman,
syarat-syaratnya penting diketahui, untuk diusahakan :

Adanya pemimpin yang ditunjuk oleh Tuhan.

Kasih sayang dan perpaduannya sesama ahli terserlah sekali
taat setia kepada pemimpinnya, sehidup semati.

Kasih sayang dan perpaduannya sesama ahli terserlah sekali

Fikiran dan perasaan mereka selaras dan selari.

Pengikut-pengikutnya laksana satu ibu, satu ayah di dalam satu keluarga.

Mereka menjadi abid-abid di waktu malam,
menjadi singa-singa di siang hari.

Keyakinannya kental, sabarnya luar biasa, azamnya teguh,
bagaikan besi waja yang tidak dapat diganggu gugat
oleh ujian dan cabaran.

Perjuangan mereka agak lama berterusan.

Setelah mereka menempuh ujian demi ujian,
kecil dan besar sebagai tapisan.

Maka berlakulah saringan, demi saringan,
tapisan, demi tapisan dari ujian.

Mereka yang asalnya bilangannya ramai,
setelah tinggal sedikit bilangannya barulah diberi kemenangan

Kalau pejuang-pejuang Islam,
diberi kemenangan setelah ramai bilangannya,
natijahnya serupa macam orang kafir diberi kemenangan.

Cara ini tidak nampak kebesaran dan kuasa Allah memberi kejayaan.

Dengan kemenangan mereka akan sombong, dan menzalim orang ramai sewenang-wenang.

Kerana mereka mendapat kemenangan merasa dari tenaga dan usaha mereka, bukan dari Tuhan yang Maha Kuasa.  

Begitulah gambaran secara umum parti Allah Taala
diberi kemenangan di dalam sejarah Islam

Bulan Muharramlah kemenangan besar-besaran itu
biasanya Allah Taala anugerahkan

Untuk umat Islam yang berjuang di akhir zaman,

yang penting syarat-syarat kemenangan
itulah yang hendak dipastikan

Berusahalah untuk memenuhi
syarat-syarat kemenangan

Janji Tuhan kemenangan itu pasti diberikan
setelah syarat-syaratnya dipenuhkan 

Marilah kita penuhkan syarat-syaratnya
untuk menagih janji Tuhan,

kemenangan pasti datang,
seperti yang dijanji Tuhan

Abuya Syeikh Ashaari Muhammad At-tamimi
27.1.2003
Menjelang Zuhur


Ketika Cinta Bertasbih (instrument Hits) - Instrument
Mp3-Codes.com