Isnin, 29 Mei 2017 | By: iKhwan89

DISIPLIN ORANG SOLEH SAAT BERBUKA

Ikut sunnah berbukalah dengan tamar dan minum air kemudian bangun kerjakan Solat Maghrib terlebih dahulu.

Kemudian baru makan malam. Ramai ulama dan orang soleh berbuka puasa dengan 2, 3 butir buah tamar dan bubur nasi kemudian terus Solat Maghrib.

Selepas Solat Maghrib, meneruskan ibadah dengan Solat Sunat dan membaca Al-Quran sehingga Isyak dan Solat Tarawikh. Selepas selesai semuanya baru mereka duduk menghadap hidangan dan berdoa kemudian makan dengan tenang dan khusyuk.

Hati mereka merdeka dari gejolak nafsu makan bahkan hati mereka sedang asyik mengingati Allah. Itulah ibadah mereka sepanjang Ramadhan. Hal cerita hidangan yang lazat-lazat sebenarnya tak ada dalam suasana kehidupan orang-orang soleh.

Zaman kita sahaja yang makanan bertimbun - tak tahu nak makan yang mana satu. Orang soleh cukup dengan tamar, roti dan sedikit kuah. Itulah hidangan istimewa mereka. Jika kita nak mengatakan makanan sudah terhidang, kena makan dulu - itu hidangan makanan yang ala kadar sahaja. Kalau kita layan makanan bertimbun itu sebelum solat ibaratnya solat kita akan jadi lemah, malas kekenyangan bahkan mengantuk.

Apapun kita beringatlah masa berbuka puasa. Buatlah ikut cara orang-orang soleh. Inilah yang terbaik. Dah puluhan tahun makan minum kita di bulan Ramadhan penuh dengan pembaziran - yang menjadikan Allah murka dengan kita. Marilah kita bertaubat dan laksanakan ibadah puasa dengan membina rasa hati yang tak putus dengan Allah.

Fokus ibadah yang membina rasa takut Allah di dalam hati - bukan makan minum bahkan berhati-hatilah dengan kesedapan dan kekenyangan!!

- Tuan Dato Johari Morad -

Dari FB Abu Raziq Al Ansorullah

Selasa, 16 Mei 2017 | By: iKhwan89

Surat Terbuka Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad ke pada alim ulama'.

"KE HADAPAN, Sohibussamahah Al Fadhil-Al Fadhil
para mufti, para kadhi, tuan-tuan guru, para mubaligh,
para ustaz (sama ada yang rasmi mahupun tidak rasmi,
ada jawatan mahupun tidak ada jawatan, berdegree
mahupun yang tiada degree, ada bintang kehormatan
mahupun tiada bintang kehormatan, sudah pencen
mahupun belum).

Dari saya seorang manusia biasa yang serba
dhaif lagi berdosa,

untuk tuan-tuan yang berbahagia
lagi dihormati dengan tujuan untuk ingat
mengingatkan seperti yang difirmankan
oleh Allah bermaksud:

Demi masa, sesungguhnya manusia itu
berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang
beriman dan beramal soleh. Dan mereka yang ingat
mengingatkan kepada kebenaran. Dan yang ingat
mengingatkan kepada kesabaran. - (Al 'Asr :1-3)

Firman-Nya lagi:
Terjemahan: Hendaklah memberi ingat.
Sesungguhnya peringatan itu memberi
faedah kepada orang mukmin. - (AZ Zariat : 55)."

.
"Saya tahu bahawa dalam banyak hal
tuan-tuan lebih tahu dari saya. Yang mana layaknya tuan-tuanlah yang mengingatkan saya.

Tetapi, mengapa saya mendahului tuan-tuan?
Ialah kerana Allah S.W.T telah mentakdirkan saya,
selalu menggauli masyarakat. Seluruh Malaysia
telah saya jelajahi untuk melihat dari dekat tentang
agama mereka.

Dan hampir semua negara umat Islam
di dunia telah saya tinjau perihal Islam yang
ada pada mereka di sana.

Alangkah sedih dan kasihannya saya
pada mereka, kerana mereka begitu lalai
dan jauh meninggalkan agama mereka.

Seolah-olah mereka tidak tahu
bahawa Allah itu Wujud, Maha Mendengar
dan Melihat dan setiap detik mencurahkan
rahmat pada mereka.

Kebanyakannya langsung tidak peduli
pada perintah dan larangan-Nya. Akibat dari itu,
mereka telah dihina oleh Allah di dunia
sebelum diazab di akhirat."

.
"Kalau tuan-tuan pergi ke Mesir, Maghribi,
Pakistan, Tunisia, Turki, Syria, Arab Saudi,
lndonesia dan lain-lain negara umat Islam,
tuan-tuan akan lihat nanti betapa kehinaan
yang sedang mereka tanggung.

Dan alangkah kasihannya kita pada mereka.
Sebab itulah saya tulis surat ini.
Mengharapkan sumbangan tuan-tuan
untuk mengembalikan umat ini kepada
kebenaran dan keselamatan mereka
dunia dan akhirat.

Saya tidak nampak ada orang lain
selain tuan-tuan yang mampu memikul tugas
dan amanah ini.

Bukankah tuan-tuan para alim ulamalah
yang diamanahkan oleh Allah dan Rasul
untuk menyambung tugas Rasulullah
dan para sahabat?
laitu mendidik umat supaya hidup
mengikut Al-Quran dan sunnah.

Bersabda Rasulullah:
Terjemahannya: Sesungguhnya
ulama itu pewaris para Nabi. - (Riwayat Ahmad).

.
"Tuan-tuan yang mulia,
Perkara-perkara yang terpaksa
saya nyatakan di sini, untuk bahan
fikiran tuan-tuan demi memulakan
tugas penting itu ialah seperti berikut:"

~
"Pertama: llmu Islam yang tuan-tuan miliki
walau apa bidangnya, tertakluk di dalam
4 rubuk penting iaitu :
ibadah, muamalah, munakahat dan jenayah,
bukanlah tujuan utamanya untuk mencari kerja
di pejabat, yakni untuk makan gaji semata-mata.
Tujuan utama Allah berikan ilmu itu ialah untuk
disampaikan pada semua umat manusia.

Supaya Islam menjadi amalan hidup mereka,
lebih-lebih lagi amalan hidup tuan-tuan
sendiri (alim ulama), dan kaum keluarga
terutamanya anak dan isteri.

Tidak mengapa makan gaji kalau boleh
melaksanakan kehendak Allah itu.

Tapi kiranya gaji menyekat kita dari tugas tadi,
maka utamakan kehendak Allah.
Kerana rezeki itu hak Allah dan jangan sampai
tuan-tuan meragu-ragukannya.

Tapi hari ini para ulama mengutamakan
gaji dan jawatan, ‘Nak jaga periuk nasi.”
Hingga tugas sebagai da’i diabaikan.

Hingga kerana itu hanyutlah rakyat dan
pemerintah dalam gelombang kejahilan
yang penuh dengan najis dan mungkar.

Tidak mengapa jugalah kalau tuan-tuan,
anak, isteri dan kaum keluarga mengamalkan
cara hidup Islam yang sebenar,

sekurang-kurangnya bolehlah masyarakat awam
yang jahil itu serta para pemerintah mencontohi
Islam yang ada pada tuan-tuan itu;
tapi malangnya itu pun tidak berlaku."

.
"Oleh kerana sibuk dengan urusan
menjaga status, gaji dan pangkat,
tuan-tuan membelakangkan tugas-tugas
dalam rumah yang berbentuk peribadi.
Rumahtangga kita disusun dan dihias
seperti orang jahil menghias rumah mereka.

Seolah-olah tuan-tuan tidak tahu bagaimana
Rasulullah dan para salafus soleh menyusun
rumah mereka. Anak isteri alim ulama terkenal
kerana mendedahkan aurat, sekalipun di waktu
yang sama orang-orang “sekular” sudah ramai
yang menutup aurat dengan tudung dan purdah.

Malah berlaku juga anak orang alim tidak tahu
hal tentang sembahyang dan lain-lain lagi
ibadah asas. Sudah menjadi perkara biasa saja
orang alim hantar anak untuk diajar dan dididik
oleh Yahudi dan Nasrani di London dan Amerika,
bila balik mereka meragui ilmu dan kerja ayahnya.
Di Amerika saya ketemu dengan seorang
anak tuan guru yang ragu dengan malaikat dan
hari kiamat serta hidup di alam barzakh."

.
"Kenapa semua ini boleh berlaku? Sedangkan
kita tahu bahawa hal-hal demikian boleh
menjerumuskan kita ke dalam kawah api neraka.

Tapi kalau kita tidak mampu, apa salahnya
bersangka baik pada badan-badan dakwah
bebas yang ingin sekali membaiki keadaan
umat Islam kita. Benarkan mereka berdakwah dulu,
kalau betul mereka menyesatkan orang,
tangkap sahaja.

Tapi hari ini belum apa-apa setengah-setengah
kadhi sudah sekat orang dakwah dari berdakwah.
Yang pelik lagi ialah ada setengah-setengah kadhi
yang sekat kadhi dari berdakwah.
Kadhi tidak percaya pada kadhi.

Kalau kadhi itu tidak betul mengapa diangkat
jadi kadhi? Kita bimbang kalau-kalau tujuan
sekatan itu dibuat bukan kerana Allah,
demi menjaga kesucian Islam, tapi kerana tidak
senang dengan kebaikan dari orang lain.
Kalau begitulah halnya, benarlah sudah
sabda Rasulullah SAW:

Terjemahannya: Dua golongan manusia, bila baik
dua golongan itu baiklah manusia, bila jahat, jahatlah
manusia. Mereka itu ialah golongan ulama dan
pemerintah.

.
"Kerosakan dunia dan manusia tergantung
pada para ulama, sesudah pemerintah.
Ertinya kerosakan dunia kini, dengan segala
kekejaman dan penzaliman dan kejahatan
adalah kerana kedua-dua golongan itu
telah rosak (jahat).

Matan Zubat ada berkata: Terjemahan:
Orang alim yang tidak beramal, masuk
neraka lebih dahulu dari penyembah berhala.

"Bila alim ulama tidak lagi jadi obor,
tidak boleh jadi contoh dan tidak boleh jadi
tempat rujuk lagi, maka saya takut akan
berlakulah hal ini:
Apabila tergelincir alim ulama, tergelincirlah alam.
Dan saya lihat hal inilah yang sedang berlaku sekarang."

.
"Kedua: Sesudah kita abaikan dakwah, dan
kita cuaikan pula amalan Islam pada diri
dan anak isteri secara lahir mahupun batin,
sesetengah kita halang pula orang lain
dari melakukannya.

Sudah jadi perkara biasa bagi
setengah-setengah kadhi untuk menyekat
orang-orang dakwah dari berdakwah.
Konon takut tersebar ajaran salah.

Walhal kita tidak pun takut hal umat lslam
yang sudah hanyut dan sesat dalam
seribu kemungkaran.

Kalau betul takut orang itu bawa ajaran sesat,
kenapa tidak kita sediakan mubaligh-mubaligh
sebanyak-banyaknya, sebanyak yang
diperlukan oleh masyarakat, yang mana
mubaligh itu jujur terhadap tugasnya itu,
tanpa kepentingan kebendaan (duit)
melalui “milage” dan mereka itu mestilah
mubaligh yang benar-benar boleh mendidik
umat hingga Islam menjadi cara hidup penganutnya itu."

.
"Ketiga: Satu lagi sikap para ulama
yang tidak sepatutnya berlaku, kerana boleh
menjahanamkan umat ialah turut berlumba
mendapatkan degree seperti kerja orang-orang
jahil yang menggunakan degree untuk jawatan,
gaji dan status, kemudian membanggakannya.

Memisahkan diri dari masyarakat kerana bergaul
sesamanya saja. Masyarakat tidak dapat
apa-apa pimpinan. Kalau ada pula yang
campur masyarakat, bukannya mereka yang
mencorakkan masyarakat, tapi masyarakat
yang mencorakkan mereka.

Bukan sedikit ulama kita yang pakai seluar pendek
bahkan turut main bola dan tiup belon di padang.
Memandang rendah pada orang yang
serba kurang dan tidak sudi menggauli
orang bawah dan orang miskin.

Walhal Rasulullah S.A. W mengajar kita
untuk mengambil dunia ini sekadar keperluan,
selebihnya untuk masyarakat Islam.
Hingga kerana itu hidup baginda sederhana sekali,
kerana memberi kekayaan pada perjuangan Islam.
Baginda sangat merendah diri sesama
hamba Allah terutama orang miskin,
anak yatim dan janda-janda.
Kenapa kita tidak contohi baginda?
Bukankah sebaik-baik contoh ialah Rasulullah S.A.W."

.
"Kemudian demi menjaga status tadi,
kita terpaksa berhati-hati dengan pemerintah.
Kesilapan pemerintah dalam tindak-tanduk
mereka memerintah dan mentadbir negara
tidak kita tegur dan nasihat secara serius
Walhal kita cukup berani mendedahkan
segala salah silap rakyat jelata.

Hinggakan orang yang tidak sesat pun
sesetengahnya kita sudah sesatkan.
Yang tidak kafir pun sudah dikafirkan.
Begitu sekali sungguh-sungguhnya kita.

Kalaulah kesungguhan yang sama kita tunjukkan
dalam mendidik pemerintah, sudah lama negara ini aman
dari sebarang krisis serta rakyatnya hidup makmur
kerana harta negara dibahagi secara adil."

.
"Keempat: Di zaman kebangkitan Islam ini,
yang bersungguh-sungguh mengusahakan
tertegaknya hukum Allah bukannya anggota alim ulama.

Sebaliknya orang-orang sekular yang belajar
ilmu hisab, kimia, fizik, kajihayat, komputer,
seni bina, pertanian dan lain-lain ilmu dunia
(di universiti dalam dan luar negeri)
itu pula yang dimasuki iman ke hati mereka
kemudian terus memperjuangkan Islam
hingga sanggup mengorbankan
kepentingan-kepentingan duniawi mereka.
Kebanyakan alim ulama buat tidak tahu sahaja.
Boleh tahan. Ada sebahagian alim ulama
yang anti dakwah, anti purdah, anti serban jubah,
anti kampung Islam dan anti semuanya yang
diusahakan oleh orang dakwah.

Mereka turut membuatkan masyarakat keliru,
Islam mana yang betul;
orang dakwah atau ulama-ulama?
Saya tidak nafikan bahawa ada alim ulama
yang turut masuk harakah Islam.
Tapi fungsi mereka tidak ada.

Yang menentukan dasar, teknik,
tindakan dan sikap jemaah itu ialah
golongan muda yang berpendidikan sekular.
Suara ulama tidak kedengaran langsung.

Mungkin rasa hina diri (inferiority complex)
terhadap golongan muda. Maka jadilah
jemaah Islam jemaah sekular yang corak dan
rupanya lebih condong kepada sekular
daripada Islam.

lnilah akibat ulama tidak berani membawa
jemaah itu kepada apa yang tepat
sebagaimana kehendak Al Quran dan hadis."

.
"Kelima: Badan-badan ulama
terutamanya persatuan guru agama kerajaan,
dasar perjuangan mereka ialah untuk
meminta kenaikan gaji. Mengapa tidak
jadikan juga badan itu sebagai badan dakwah
untuk mengembangkan Islam ke setiap negeri?
Bukankah itu perintah Allah. Dan bukankah
Allah pun boleh beri gaji pada kita?

Firman-Nya:
Terjemahan: Barangsiapa bertaqwa kepada Allah
nescaya Allah lepaskan mereka dari kesulitan hidup
dan memberi rezeki dari sumber yang tidak diduga.
(At Talaq:2-3)"

.
"Keenam: Guru-guru pondok,
yang dapat didikan cara tradisional hingga
zaman kebangkitan lslam ini pun masih tidak
mahu menukar cara perjuangan mereka.

Masih terus menyibukkan diri dengan
persoalan nahu dan saraf,
baris atas atau baris bawah.
Topik mujadalah tetaplah sekitar ilmu kalam,
walaupun sekitar pondok mereka
musuh-musuh sudah taburkan panggung
wayang, gambar-gambar lucah, fesyen-fesyen
menjolok mata, pendedahan aurat dan
pergaulan bebas.

Walaupun musuh sudah goncang dunia dengan
riba, arak, judi, zina, dadah, rogol dan bom nuklear.
Generasi pondok masih menjadikan mandi mayat
dan sembahyang mayat saja sebagai
‘projek ekonomi” mereka.

Kalau berlumba-lumba dan berebut pun,
berebut hendak menyembahyangkan
jenazah itulah, sekalipun orang lain sedang
rebutkan tempat tinggal mereka,
kawasan pondok mereka untuk dibangunkan rumah sewa."

.
"ltulah perkara-perkara yang ingin
saya sampaikan kepada tuan-tuan.
Saya yakin tuan-tuan boleh menerimanya
kerana semuanya adalah beban dan
tanggungjawab yang Allah pikulkan
di bahu tuan-tuan. Yang mana kalau tuan-tuan
abaikan di dunia, nescaya tidak lepas dari
pertanyaan Allah di akhirat nanti.
Apa tuan-tuan sanggup dimalukan
di akhirat daripada dimalukan sedikit di dunia?"

.
"Tuan-tuan alim yang saya muliakan,
Seperkara lagi ingin saya katakan
ialah tentang akan lahirnya ke dunia ini
Mujaddid Abad Ke-15,

untuk membantu gerakan Islam yang
sedang berkembang kini. Dunia mesti di-lslamkan
sekali lagi sebelum segala-galanya berakhir yakni kiamat.

Maka pemimpin itu ialah seorang ulama
mutaakhirin yang ilmu, taqwa, warak, zuhud
dan daya juangnya bertaraf khalifah Rasulullah,
yang terlalu jauh jaraknya dengan apa
yang ada pada kita. Jadi, kalau kita tidak
bersedia, yakni tetap lalai, berpeluk tubuh
dan ragu dengan kebangkitan Islam,

ertinya kita akan dilanda banjir besar,
akan hanyut dan terus dilupakan orang.
Kemudian tempat tuan-tuan akan diganti
oleh kaum lain yang mereka itu
cintakan Allah dan Allah pun cintakan mereka."

.
"Kerana itu, izinkan saya berseru,
marilah kita insafi hal ini dan apa salahnya
kita serahkan diri untuk kerja Allah dan Rasul-Nya?"

.
"Sekianlah saja dari saya,
hamba Allah yang hina dan banyak dosa.

Ampun maaf dari tuan-tuan
sangat saya harapkan kiranya kata-kata saya
mencacatkan hati dan perasaan tuan-tuan.

Dan terima kasih kerana sudi membaca
tulisan dari saudaramu yang kecil ini."

~
"Wabillahil hidayah wal taufik
Assalamualaikum warhmatullahi wabarakatuh."

"ASHAARl MUHAMMAD"

- Petikan Buku:
“Kenapa Salahkan Musuh ?” -


Ketika Cinta Bertasbih (instrument Hits) - Instrument
Mp3-Codes.com