Jumaat, 7 Oktober 2011 | By: iKhwan89

RSA : TUJUAN PERKAHWINAN MENURUT ISLAM

Allah Taala telah mentakdirkan bahawa lelaki ada nafsu kepada perempuan. Perempuan juga ada nafsu dengan lelaki. Hakikat ini tidak boleh ditolak. Kita tidak boleh lari daripada tuntutan semula jadi itu. Oleh itu untuk menyelamatkan keadaan maka tujuan kita berkahwin agar jangan sampai kita melakukan zina yang terkutuk. Mestilah kita berkahwin agar ia tersalur secara yang halal yang memang dibenarkan oleh Allah Taala yang Maha Pengasih.
Daripada perhubungan kelamin suami isteri itu, ia sebagai sebab pertemuan benih kedua jenis manusia yang akan melahirkan zuriat, anak-anak, cucu-cucu yang ingin sangat kita jaga, asuh, didik, diberi iman dan ilmu, agar menjadi hamba-hamba Allah yang berakhlak dan bertaqwa. Yang akan menyambung perjuangan Islam kita agar perjuangan Islam kita bersambung selepas kita mati. Memang setiap umat Islam yang belum rosak jiwanya sangat menginginkan generasi.
Kalau begitu tujuan kita berkahwin, kita inginkan anak yang akan kita didik menjadi seorang Islam yang sejati dan anak itu adalah merupakan aset kepada kita. Anak itu sendiri pula boleh menjadi harta dan tenaga kepada Islam.
Dengan perkahwinan itu, jika tujuan kita mendapat anak berjaya, dan berjaya pula dididik dengan Islam dan menjadi seorang muslim yang berguna, kemudian dia akan melahirkan cucu yang juga berjaya dididik secara Islam dengan sebaik-baiknya, berapa banyak pahala yang kita dapat sambung-menyambung. Itu adalah merupakan aset simpanan kita di Akhirat kelak
Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Apabila meninggalnya anak Adam maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu doa anak yang soleh, sedekah jariah dan ilmu yang bermanfaat. (Riwayat Muslim)


Alangkah indahnya kalau Islam yang maha indah itu dapat menjadi budaya hidup sebagaimana yang pernah mengisi ruangan dunia ini di masa yang silam, selama tiga kurun dari sejak Rasulullah SAW. Sekarang keadaan itu tinggal nostalgia sahaja. Yang tinggal pada hari ini hanya akidah dan ibadah. Itu pun tidak semua umat Islam berbuat. Kita ingin sangat keindahan Islam itu dapat diwujudkan. Di dalam suasana keluarga pun jadilah, kerana hari ini, hendak buat lebih dari itu memang amat sulit sekali. Lantaran itulah perkahwinan itu amat perlu sekali kerana hendak melahirkan masyarakat Islam kecil. Moga-moga dari situ akan tercetus masyarakat Islam yang lebih besar.
Seorang muslim bukan sahaja diperintah untuk mencari keredhaan Allah Taala tetapi diperintah juga untuk menghiburkan hati kekasih Allah Taala iaitu Rasulullah SAW, yang mana Rasulullah SAW sangat berbangga dengan ramainya pengikut atau umatnya di Akhirat kelak. Maka sebab itulah Rasulullah SAW menyuruh umatnya berkahwin.
Maksudnya: Bernikahlah kamu supaya kamu berketurunan dan supaya kamu menjadi ramai, kerana sesungguhnya aku akan berbangga dengan umatku yang ramai di hari Kiamat. (Riwayat Al Baihaqi)


Setiap umat Islam hendaknya apa yang menjadi kesukaan
Rasul-Nya itulah juga kesukaan mereka.
Kalaulah Rasulullah SAW berbangga dan bergembira dengan ramainya umat, maka kita sepatutnya juga berbangga dengan ramainya umat Islam di dunia ini. Maka untuk memperbanyakkannya, lantaran itulah kita berkahwin. Jadi kita berkahwin itu ada bermotifkan untuk meramaikan umat Islam. Ada cita-cita Islam sejagat. Kita berkahwin itu ada cita-cita besar, bukan sekadar setakat hendak melepaskan nafsu seks seperti cita-cita kebanyakan manusia.
Berkahwin itu jangan sampai putus zuriat kerana kita berbangga dapat menyambung zuriat yang menerima Islam sebagai agamanya dan dengan keturunan itulah orang kenal siapa asal-usul kita atau mereka.
Tujuan-tujuan lain sebagai maksud tambahan daripada perkahwinan bahawa setiap lelaki dan perempuan yang menjadi pasangan suami isteri hendaklah meniatkan satu sama lain hendak memberi hiburan kepada seorang hamba Allah Taala yang inginkan hiburan, kerana niat menghiburkan orang mukmin itu mendapat pahala.
Begitulah sebahagian daripada tujuan-tujuan dan maksud-maksud daripada perkahwinan di dalam Islam. Ia mempunyai cita-cita yang murni. Melahirkan cita-cita Islam, ingin mewujudkan satu rangkaian dan elemen-elemen amalan serta suasana Islam. Kalau ia dapat digabungkan dengan rangkaian-rangkaian dan elemen-elemen golongan yang mempunyai cita-cita dan tujuan yang sama seperti yang Islam kehendaki, lama-kelamaan ia akan menjadi satu masyarakat Islam yang lebih besar lagi, yang syiarnya akan dapat dilihat di mana-mana sahaja di muka bumi Tuhan ini. Dunia ini akan menjadi amat meriah, ceria, gembira dan bahagia. Barulah boleh kita meyakinkan orang lain kerana keindahan Islam itu begitu terserlah

0 comments:


Ketika Cinta Bertasbih (instrument Hits) - Instrument
Mp3-Codes.com