Rabu, 1 Oktober 2014 | By: iKhwan89

PENGULANGAN UPSR : Pandangan jutawan internet IRFAN KHAIRI

Berita murid sekolah darjah 6 terpaksa mengambil semula sebahagian peperiksaan UPSR telah disambut dengan pelbagai reaksi orang ramai. Dari pelajar, ibu bapa, guru-guru mengeluh tentang kejadian kebocoran kertas peperiksaan UPSR. Saya dan isteri juga adalah antara ibu bapa kepada anak yang perlu menduduki UPSR sekali lagi.

Tulisan saya ini bukanlah untuk menuding jari mencari kesalahan pihak yang mana. Bukan juga bertujuan memberi cadangan atau pendapat tentang wajar ataupun tidak tindakan perlu duduk semula peperiksaan UPSR. Masing-masing mempunyai pendapat sendiri yang perlu dihormati. Pastinya ibu bapa yang melalui keadaan sebegini hanya memahami.

Namun tulisan saya ini sekadar berkongsikan tentang realiti suatu pendidikan di mata masyarakat kita di Malaysia.

Bukan lagi suatu yang asing, setiap kali datangnya waktu atau tahun peperiksaan, tidak kira UPSR, PMR atau SPM, anak-anak diberi tekanan yang amat hebat dalam menduduki peperiksaan. Selepas mendapat keputusan peperiksaan pula, bukan juga suatu yang asing keputusan anak-anak menjadi bahan perbandingan antara ibu bapa, ahli keluarga dan rakan rakan.

Bagi yang sering mendapat semua A, sering kali juga mendapat pujian. Namun, bagi yang tidak mencapai keputusan yang cemerlang (adakalanya semua A tetapi satu B atau C), memadai untuk menjadi isu, dimarahi ibu bapa oleh kerana tidak mencapai tahap yang diinginkan. Kasihan juga apabila anak dijadikan perbandingan dengan kawan lain atau saudara mara, "Anak makcik Kiah dapat 5A. Awak dapat 4A je! Tu la... malas belajar suka sangat main game!"

Kejayaan atau kegagalan dalam peperiksaan sekolah tidak menjanjikan kejayaan atau kegagalan dalam hidup. Berkali-kali kita dengar kisah usahawan yang berjaya dalam perniagaan tetapi asalnya gagal di sekolah. Tak kurang juga kisah mereka yang berjaya dalam bidang industri yang berbeza, seperti bidang kreatif yang tidak dapat digambarkan dengan bilangan A ketika peperiksaan di sekolah. Tak lupa juga pencapaian dan kebolehan seseorang itu dalam bidang sukan tidak pula dapat dihitung dengan A, B, C atau D dalam peperiksaan. Dan banyak lagi.

Baru-baru ini saya terbaca satu quote berbahasa Inggeris mengatakan, sekiranya kita menilaikan seekor ikan dengan kebolehannya untuk panjat pokok, pastinya seumur hidup ikan tersebut akan merasakan dirinya bodoh. Sungguh benar kata-kata itu- begitu juga dengan manusia.

Peperiksaan di sekolah sememangnya menguji kebijaksanaan seseorang pelajar dalam mata pelajaran tertentu. Namun mata pelajaran di sekolah sememangnya adalah terhad dan tidak menggambarkan kebolehan keseluruhan seseorang pelajar itu. Sekiranya pelajar gagal dalam Bahasa Malaysia, tidak bermakna dirinya tidak akan berjaya dalam bidang penulisan. Sekiranya gagal dalam Prinsip Akaun, jauh sekali untuk mengatakannya pelajar itu tidak akan berjaya dalam bidang perniagaan.

Saya tahu kerana saya adalah "pelajar itu". Ketika menduduki UPSR (terlalu lama sudah), saya gagal dalam matapelajaran Bahasa Malaysia (tak tipu!), namun Alhamdulillah, kini saya merupakan penulis 6 buah buku yang laris, menulis untuk beberapa majalah tempatan. Tak lupa juga menerbitkan majalah Inspirasi Kejayaan setiap bulan. Itu pun tak kira menulis di Facebook setiap hari dan juga di blog! 

Ketika SPM (boleh tahan lama juga), saya gagal mata pelajaran Prinsip Akaun (F9! - sekali lagi kisah benar). Namun, amat bersyukur kerana sejak tahun 2000 hingga kini menjalankan perniagaan yang berjaya serta berjaya melahirkan usahawan-usahawan hebat serata Malaysia. Sekiranya digabungkan pula kegagalan dalam UPSR Bahasa Malaysia, dan kegagalan Prinsip Akaun dalam SPM, siapa sangka pula kini setiap Jumaat saya merupakan penulis mingguan tetap kolum kewangan "Wang Anda" di Harian Metro! 

Sememangnya ilmu adalah amat penting di dunia dan akhirat. Masakan pula perkataan ilmu disebut lebih 700 kali dalam Al Quran. Namun, ilmu tidak semestinya dapat digambarkan dengan sekadar penilaian sesuatu peperiksaan peringkat sekolah rendah mahupun menengah.

Khas untuk ibu bapa, ucapan tahniah kerana menjadi ibu bapa yang cemerlang kepada anak-anak. Besar tanggungjawabnya membesarkan anak, kita sahaja yang tahu. Sering beri dorongan dan sokongan kepada kebolehan dan bakat anak-anak. Sekiranya terdapat kekurangan dalam pencapaian di sekolah, terima dengan redha kerana mungkin rezeki Allah swt adalah memberi bakat kepada anak kita dengan cara yang tidak digambarkan melalui sistem pendidikan. Wallahualam.

Beri sokongan, beri dorongan, dan berikan kasih sayang yang tidak terhingga kepada anak tercinta. InsyaAllah mereka akan menjadi kebanggaan kita.

-Irfan Khairi
(Jutawan Muda Perniagaan Internet)

1 comments:

Mizz Eda berkata...

bgsnye dy xpnah pts asa.. good job admin sbb wt cmni >.<


Ketika Cinta Bertasbih (instrument Hits) - Instrument
Mp3-Codes.com