Isnin, 5 Januari 2009 | By: iKhwan89

POLEMIK POLITIK : CARILAH TITIK PERSAMAAN BUKAN TITIK PERBEZAAN


Sebagai umat Islam, kita mesti selalu berdoa agar Allah swt campur tangan dalam semua urusan hidup kita dan mengatasi berbagai kerenah yang berlaku di dalam masyarakat kita sama ada dari segi ekonomi, politik dan sosial.

Kita juga sebagai umat Islam yang perihatin dengan perpaduan sesama islam tentu juga ingin mengingatkan kepada mereka yang bergelar pemimpin khususnya pemimpin politik, tidak mustahil suatu masa nanti masyarakat umum akan menjadi bertambah meluat serta muak terhadap para pemimpin politik. Ini kerana melihat kepada telatah dan gelagat pemimpin politik yang tiada noktah akhir untuk berdamai. Setiap hari ada saja isu yang menjadi modal untuk bertelagah.

Cuba kita lihat contoh negara negara yang sering berkrisis seperti jiran kita iaitu Thailand dan beberapa negara Afrika seperti Zimbabwe, Sudan, Congo dan yang terbaru Guinea. Berkrisis, bertelagah, bergaduh, bermusuh dan akhirnya berperang. Sama juga denga apa yang berlaku di Palestin, mereka sedang berhadapan dengan regim Zionis, dalam waktu yang sama mereka berkrisis sesama sendiri.

Umpamanya kita lihat Thailand, bila masanya untuk memikirkan masalah rakyat dan membangunkan negara. Lantaran memikirkan kepentingan diri maka masing-masing saling jatuh menjatuhkan yang tidak mendatangkan sebarang keuntungan. Bahkan lebih banyak merugikan negara dan rakyat. Rakyat ramai membuang masa berdemonstrasi untuk memenuhi selera beberapa kerat pemimpin. Pemimpin yang ada dijatuhkan, naik pula pemimpin baru yang belum pun sempat membuat dasar kerajaannya, sudah dijatukan. Pemimpin baru naik pun senasib juga, belum berbuat apa-apa dasar sudah dijatuhkan pula. Kalau naik pula pemimpin yang baru bakal menghadapi situasi yang sama. Berlaku demikian adalah angkara pemimpin yang membawa bersama rakyat untuk melakukan perkara-perkara yang tiada faedah, iaitu berdemonstrasi untuk saling jatuh menjatuh. Yang untung ialah para pemimpin itu sendiri yang sudah sedia kaya raya dan senang lenang. Rakyat kekal menggigit jari.

Buat masa ini mungkin situasi begitu tidak berlaku dinegara kita, tetapi jangan pula anggap mustahil akan berlaku. Ini kerana melihatkan dikalangan pemimpin politik seringkali mencetuskan pertelingkahan terhadap sesuatu isu yang kadang-kadang tidak sepatutnya di jadikan polimikan. Contoh terkini ialah persoalan Hudud.

Hudud adalah hukum Allah swt. Hudud datangnya dari Allah swt. Hudud adalah ketetapan dari Allah swt dan hak mutlak milik Allah swt. Apabila orang politik memperkatakan mengenai Hudud, ianya menjadi panas. Pihak yang mempertahankan Hudud dengan secara panas, manakala yang kurang bersetuju pun dengan secara panas juga. Kita bukan mahu membahaskan isu ini kerana Hudud memerlukan ruang yang panjang, sesuai dibahaskan dalam satu buku. Kita harus ingat persoalan Hudud ini membabitkan hukum hakam Allah swt. Hukum hakam Allah swt bukan sesuatu yang boleh dipolemik secara terbuka dan melibatkan berbagai pihak yang tidak berkenaan. Akibatnya akan semakin mengelirukan masyarakat terhadap hukum hakam Allah itu. Bermula dari polimik antara pemimpin politik yang berseteru, akhirnya membawa kepada pro dan kontra dalam masyarakt umum. Kadang- kala masyarakat umum bukan memahami persoalan sebenar. Mereka hanya cenderung kepada pemimpin parti masing-masing dan fahaman politik yang dianuti. Bukan berpegang kepada pendirian agama sebenar.

Persoalannya di sini, bolehkah hukum hakam Allah swt dijadikan bahan pro dan kontra? Bila keadaan ini terjadi siapa yang mahu bertanggung jawab sehingga membawa pertelagahan pula dikalangan masyarakat umum terhadap Hudud itu. Kita menjadi berseteru kerana hukum hakam Allah swt yang sepatutmya diterima bersama. Kita sesama umat Islam seringkali mencari titik perbezaan dan diperbesarkan hingga melibatkan masyarakat awam. Sepatutnya dalam mana-mana persoalan hukum hakam Allah swt kita mencari titik persamaan dan saling berkongsi ilmu serta kefahaman.

Sikap umat Islam yang terbaik dalam perkara berkaitan ajaran Islam ialah:

1. Berpegang kepada Aqidah dan keyakinan yang sama.
2. Apa saja perintah wajib dari Allah swt diterima sebagai wajib, jangan dipertikaikan. Sama-sama pula mendokong serta laksanakan secara bersama.
3. Apa saja yang ditegah atau dilarang atau haram oleh Allah swt, hendaklah diterima sebagai haram, dan jangan berdolak dalik. Sama-sama menjauhinya, membenteras dan menghapuskannya.
4. Semua perkara makruf hendaklah saling bahu membahu dalam menegakan yang makruf tersebut, dan sama-sama berkongsi manfaatnya.
5. Terhadap perkara mungkar pula sama-sama membenteraskannya.
6. Kalau suatu aspek itu kedudukannya khilafiyah maka sama-sama menjaga adab khilaf dengan menghormati pegangan masing-masing tanpa perlu mempengaruhi atau mempertikaikan. Bahkan kalau bijak dalam menangani perkara khilaf atau berbeza pendapat ini amat besar rahmat dan kebaikannya.

Namun demikian, kebiasaannya keadaan inilah yang paling payah terjadi kepada orang politik. Biasanya keuntungan politik jauh lebih diutamakan berbanding dengan keutamaan agama itu sendiri. Sekarang ini dalam persoalan Hudud yang diketengahkan itu, ada pihak kurang setuju. Bila pihak tersebut ketengahkan Islam Hadhari, pihak yang lain pula kurang setuju. Sedangkan tiada apa yang tidak kena dengan Islam Hadhari tersebut. Saling mempertikaikan itu adalah kerana kedudukan kedua pihak sebagai seteru politik.

Berbalik kepada Hudud, ada juga parti yang diwakili majoritinya oleh orang bukan Islampun turut tumpang semangkuk di dalam polemik ini. Hudud adalah persoalan agama Islam, ianya adalah hukum hakam Allah swt. Apa hak mereka untuk campur tangan? Dari satu segi, mereka tidak boleh di persalahkan. Salahnya ialah pemimpin politik orang Islam sendiri. Apabila Hudud di polemikkan oleh orang politik dan secara politik maka mereka (merujuk kepada ahli politik bukan islam) anggap Hudud bukan persoalan agama Islam. Mereka mungkin beranggapan seolah-olah Hudud hanyalah sebahagian daripada isu politik. Tidak hairanlah maka mereka berani bersuara bahkan sampai keperingkat mencabar yang dikira sudah melampau dan keterlaluan. Apa yang kita boleh buat? Ini semua adalah angkara kelemahan kita sendiri yang meletakkan Hudud sebagai sebahagian isu politik.

Hudud bukan bahan perbahasan dipentas terbuka! Ulama serta pemikir Islam terutama dikalangan yang benar-benar berkecuali sewajarnya memperkatakan Hudud secara dingin, teliti, berhalus, berhati-hati dengan penuh taqwa kepada Allah swt.

Kita amat berharap semoga para ulama dan pemikir Islam dapat menutup mulut pihak-pihak yang mewakili badan bukan Islam ini agar tidak bercakap mengenai persoalan agama Islam ini. Dan sekaligus mudah-mudahan para ulama dan pemikir Islam turut mendinginkan suhu orang politik terhadap hukum hakam Allah swt ini. Andainya ini dapat dilakukan oleh para ulama dan pemikir Islam, nescaya dapat sedikit sebanyak mengubah tanggapan masyarakat terhadap ulama. Selama ini masyarakat prejudis terhadap ulama dan mengganggap ulama hanya nampak kepada persoalan seperti pondan, rokok, pengkid, yoga dan sebagainya.Sebaliknya membisu terhadap persoalan seperti Hudud.

Marilah kita sama-sama berdoa, ‘Ya Allah, yang maha berkuasa keatas tiap-tiap sesuatu, yang kami ini dalam genggamanMu, jadikan kami sebagai hamba-hambaMu yang bernaung dibawah pemimpin kebenaran. Tunjukanlah kepada kami yang benar itu adalah benar. Jadikan kami dari kalangan hamba-hambaMu yang berada dalam kebenaran yang hakiki. Berilah kepada kami kekuatan untuk mempertahankan serta memperjuangkan kebenaran.’


Sekian.

0 comments:


Ketika Cinta Bertasbih (instrument Hits) - Instrument
Mp3-Codes.com