Teks oleh NORZAH BTE KEPOL
Tak semena-mena kenyataan naib presiden kelab isteri taat, Dr Rohaya Mohammed yang menyarankan golongan isteri patuh dan melayan suami seperti ‘pelacur kelas pertama’ yang dibisingkan. Sepatutnya kita sebagai manusia mengambil isu pokoknya iaitu pengisian Kelab Isteri Taat itu lebih penting dan bukannya membesar-besarkan agenda tidak penting ‘pelacur kelas pertama’.
Dalam isu Kelab Isteri Taat (KIT) ini tak perlulah kita memasukkan sebarang elemen negatif jika kita tidak faham akan tujuan dan maksud penubuhan kelab ini. Mentang-mentanglah KIT ditubuhkan oleh bekas jemaah Al-Arqam maka ramailah yang cepat melatah bagaikan ulat cempedak. Cuba kalau KIT ditubuhkan oleh isteri Perdana Menteri Datin Rosmah Mansur sudah tentu ramai yang menyokong idea ini biarpun terdapat perkataan-perkataan yang pahit menyentuh sanubari sekalipun.
Begitu juga dengan perkataan ‘pelacur kelas pertama’(PKP) mana lebih hina dan biadap bila kaum wanita di negara ini diceraikan sambil menafikan hak mereka dalam soal tuntutan nafkah dan sebagainya. Kenapa sesetengah pihak yang marah dengan perkataan PKP ini tidak mempersoalkan kepada mahkamah syariah bagaimana dengan nasib dan masa depan kebanyakan isteri sudah diceraikan oleh suami mereka? Tanya dengan pihak mahkamah syariah akibat dan kesan dari perceraian ini sehingga ada antaranya terpaksa menjual maruah diri atau menjadi pekerja seks di lorong belakang. Setakat ini berapa ramai bekas suami dipenjarakan lantaran didakwa gagal memberikan nafkah kepada bekas isteri dan anak-anak mereka? Kenapa hal-hal membabitkan isu pembelaan wanita ini tidak dibesar-besarkan selain perkataan PKP itu. Mana hukumannya sepatutnya dikenakan kepada bekas-bekas suami gagal melaksnakan tanggungjawab kepada bekas isteri dan anak masing-masing?
Hakikat tidak mampu disembunyikan di sini apabila ada antara kita suka melarikan diri bagaikan lipas kudung dari isu-isu pokok boleh membawa kebaikan yang sepatutnya direnung dalam KIT ini. Seharusnya langkah Syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) menubuhkan KIT perlu dipuji dan disokong. Sekurang-kurangnya ada NGO yang berjaya melangkaui Wanita UMNO, Muslimat PAS dan Puteri UMNO menubuhkan kelab memberikan manfaat kepada wanita di negara ini. Namun mungkin ada yang tidak kenanya bila penubuhan KIT tidak diseiringkan dengan penubuhan Kelab Suami Taat (KST). Kalau isteri sahaja yang taat sebaliknya di pihak suami bertindak zalim dan tidak menghormati golongan wanita sukar juga dibuatnya. Bukannya apa kita bimbang kalau ada kalangan suami yang akan mengambil kesempatan dari istilah kit ini untuk menzalimi fizikal dan emosi kaum wanita di negara ini. Sebagai contoh, mungkin ada kalangan suami tidak bertanggungjawab akan mempergunakan KIT untuk berpoligami atau melepaskan tanggungjawab sebagai ketua keluarga yang baik.
Berpegang kepada kejadian manusia sejak Nabi Adam dijadikan berpasang-pasangan maka amat bersesuaian jugalah jika GISB mengambil pendekatan menubuhkan ‘Kelab Suami Taat (KST)’ sebagai satu mekanisme bagi mengelakkan kejadian perceraian semakin banyak berlaku di negara ini. Jika ada KIT mestilah ada KST baru ada timbal balasnya. Selepas ini bolehlah Presiden KIT, Puan Hatijah Aam atau Ummu Jah memikirkan hal ini. Kita berkeyakinan Ummu Jah sentiasa mempunyai nawaitu untuk membawa kebaikan wanita di negara ini tetapi malangnya sering disalah ertikan atau tidak dimengerti oleh sesetengah pihak suka melibatkan aktiviti baik GISB dengan bekas kumpulan Al-Arqam. Al-Arqamkan sudah lama berkubur buat apalah kita samakan dengan matlamat GISB? Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah 197 yang maksudnya; “Dan semua yang kamu kerjakan dari kebaikan ini, maka Allah mengetahuinya.”
Tak semena-mena bila timbul idea KIT maka adalah sesetengah pihak mendakwa kononnya pengasas Al-Arqam Allahyarham Ashaari Mohammad atau Abu Ya tidak meninggal dunia dan ghaib apa matlamatnya? Di sini kita keluarkan temubual akhbar ini dengan Ummu Jah antara lain, ‘’di pihak saya, atas nama media, kami sekeluarga tidak pernah membuat kenyataan akhbar mengenai isu ini (Abu Ya ghaib). Namun pada masa yang sama, ada rakyat malaysia (bukan jemaah Al-Arqam) yang ke Mekah bawa balik cerita jumpa Abu Ya di Mekah. Jangan-jangan ada yang merancang untuk perbesarkan cerita kecil ini? Atau dalam bahasa mudah ada pihak yang cuba mencalarkan nama baik kami dengan dakwaan-dakwaan seumpama ini.”
Kadang-kadang kita berasa peliklah dengan sesetengah ulama di negara ini suka sangat membuat persepsi dalam hal-hal berkaitan agama sepertimana berlaku dalam politik. Kalau ulama di negara ini begitu bersungguh-sungguh mahu mengambil tanggungjawab menjaga Islam di negara ini jangan hanya memandang isu bekas jemaah Al-Arqam semata-mata termasuklah melihat kepada isu aurat isteri pembesar negara, berani menegur pemimpin kerana berani mengambil riba dan jangan politikkan masjid bukan sahaja berlaku di Pulau Pinang juga di negeri-negeri lain.
Mungkin ada baiknya dalam isu Ummu Jah ini kita minta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atau isterinya Datin Seri Rosmah Mansor mengadakan pertemuan empat mata atau persidangan meja bulat bertemu sendiri dengan isteri Ashaari, Ummu Jah boleh dikatakan amat berpengaruh dan mempunyai ramai pengikut dalam dan luar negara. Sementalaah kita melihat kepimpinan Najib amat terbuka dan boleh menerima pandangan semua pihak waima rakyat biasa sekalipun. Tiada salahnya Najib atau isterinya bertemu Ummu Jah bagi mengenal pasti dan mengetahui apa sebenarnya berlaku antara Ummu Jah dan pegawai agama di negara ini. Seolah-olah tak ada jalan pintas untuk menyelesaikan salah faham ini. Tambahan pula GISB ini banyak formula tentang ilmu perniagaan boleh dimanfaatkan untuk faedah negara.
Berbalik kepada penubuhan KIT,mungkin kita boleh melihat penubuhan KIT sebagai salah satu daya usaha melahirkan institusi rumahtangga yang sentiasa diredhai Allah STW. Anggapkan sahaja penubuhan KITsebagai salah satu daya usaha GISB membawa golongan wanita terutamanya ke syurga. Tak kiralah suami mereka zalim, kaki judi, kaki betina dan sebagainya yang penting mana-mana isteri yang taat ini ada tempat di dalam syurga Allah SWT. Manakala mana-mana suami yang zalim sudah tentu ada balasannya di akhirat kelak.
Sekonyong-konyong penubuhan KIT berjaya menyentuh hati dan nurani Ketua Pergerakan Puteri UMNO DatukRosnah AbdulRashid Shirlin dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Masyitah Ibrahim yang melihat dalam aspek seks semata-mata dalam isu KIT ini. Sepatutnya Rosnah dan Masyitah sendiri menyambut baik penubuhan KIT sudah tentu diilhamkan selepas melihat dalam keluarga kedua-dua sayap Puteri dan Wanita sendiri tidak mampu menjadi contoh yang baik kepada wanita di bawah sana.
Bukan Rosnah dan Dr Masyitah tak tahu dalam Wanita dan Puteri sendiri sudah kedengaran cerita-cerita kurang enak antaranya sikap isteri tidak taat kepada suami dan sebagainya. Tidak kurang yang berlakon baik suami isteri di depan orang ramai sebaliknya mempunyai keluarga tunggang langgang dan sebagainya. Ini antara sebab kenapa KIT ditubuhkan sekurang-kurangnya tercapai hasrat membawa wanita ke syurga itu yang lebih penting lagi.
Peliknya Rosnah dan Dr Masyitah selama-lamanya hanya pandai mengkritik itu dan ini tanpa mengemukakan satu idea yang tuntas cara mana mahu mengelakkan isu penceraian suami isteri berlaku setiap 15 minit di negara ini. Mengkritik memanglah senang sebab tidakmenggunakan baiya dan peruntukkanyang mahal dibandingkan dengan GISB terpaksa menggunkan peruntukan tertentu untuk melancarkan KIT umpamanya.mungkin melalui KIT, baik Rosnah dan Dr Masyitah boleh menasihatkan sayap Puteri dan Wanita agar lebih bertanggungjawab dalam institusi kekeluargaan itu sendiri. Apa hukumnya isteri bersentuhan dengan lelaki bukan muhrim atau mendedahkan aurat di depan bukan muhrim itu yang sewajarnya dilihat oleh Rosnah dan Dr Masyitah? Kenapa memandang isu remeh temeh seperti PKP padahal kedua-duanya boleh mengkritik isu aurat sesetengah isteri pembesar negara dan sebagainya? Hakikatnya isu-isu aurat tidakdijaga dan dipelihara inilah bakal membawa kepada gejala isteri tidak taat suami dan sebagainya.
Sepatutnya semua pihak melihat positif usaha dilakukan GISB ini selepas kebanyakan wanita di bawah sana agak kempunan mahu melihat Biro Wanita dan Puteri umpamanya menganjurkan program-program keagamaan yang memberikan manfaat kepada golongan wanita di negara ini. Kalau Wanita dan Puteri UMNOsehingga rencana ini ditulis tidak mampu membimbing diri mereka ke arah perkara-perkara yang direstui Allah SWT, maka janganlah sesekali kita mengkritik nawaiitu GISB menubuhkan KIT ini. GISB bukannya sebuah organisasi parti tapi sekurang-kurangnya mereka mempunyai idea untukmembuat kebaikan di negara ini. Tidak sepertimana sesetengah pemimpin Wanita UMNO yang bertelagah sesama mereka kerana projek atau kepentingan diri.
Selama ini memang kita berharapkan bila Dr Masyitah masuk ke dalam UMNIO mampu memberi input yang baik dalam parti itu termasuklah berani membuat teguran dan memberi dakwah kepada sesetengah pimpinan parti itu dilihat membelakangkan peraturan Islam. Kita amat berharapkan Dr Masyitah tidaklah terkena percikan dan bau najis bila membasuh ‘tong tahi’ ternyata meleset. Sama ada suka atau sebaliknya, Dr Masyitah juga sudah menjadi sebahagian dari mereka juga tidak mampu menggunakan lidah untuk menegur umat. Apatah lagi turut bersekongkol dengan sesetengah pihak melihat penubuhan KIT kerana faktor nafsu semata-mata.
Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata : Bersabda Rasulullah SAW : Akan terjadi sepeninggalanku nanti sifat monopoli (mengutamakan diri sendiri) dan beberapa hal mungkar. Sahabat bertanya : Ya Rasulullah bagaimana pesanmu kepada kami, jika menghadapi hal itu? Sabda Nabi : Kamu tunaikan kewajipanmu dan kamu minta Allah untuk mendapatkan hakmu.” (Buchary, Muslim)
Bukanlah mahu mengata tapi mengenangkan Abu Hurairah r.a. berkata : Seorang datang kepada Nabi SAW dan berkata : Nasihatilah saya! Bersabda nabi S.A.W. : Jangan marah, kemudian orang itu mengulangi minta nasihat pula, jawab Nabi : Jangan marah.” (buchary)
Menyentuh bab-bab nasihat ini sewajarnya kita menasihatkan sesetengah ulama umno ini agar menonjolkan sikap dan peribadi yang mulia semasa memberikan perkhidmatan kepada rakyat. Tambahan pula terdapat sesetengah pemimpin wanita dan puteri suka menonjolkan cara berpakaian dan aksesori mahal sehingga membawa kepada budaya riak atau boleh mendatangkan fitnah. Tentulah sukar mana-mana ulama UMNO mahu berdakwah atau menerangkan perkara-perkara ada kaitan dengan Islam ini jika diri sendiri pun tidak terbimbing dengan ilmu Allah. Maknanya ulama tahu hal-hal berkaitan agama ini tetapi lidah kelu mahu menegur atau menasihat lantaran tangan dan kaki terikat dengan kuasa dan pangkat.
Sehubungan itu, ada baiknya Rosnah dan Dr Mashitah melihat aspek pembelaan wanita secara lebih menyeluruh dan tidak terikat kepada isu penubuhan KIT semata-mata. Mana lebih besar hukumnya menyebut perkataan PKP dibandingkan dengan sesetengah wanita hidup melacurkan diri kerana tidak diberikan nafkah oleh bekas suami mereka? Dan kalau KIT tidak mempunyai pengikut yang ramai sepertimana kata ketua pergerakan wanita UMNO Senator Datuk Hajah Shahrizat Abd. Jalil tidak perlulah Rosnah dan Dr Mashitah gusarkan. Mungkin lebih baik Dr Mashitah perbetulkan moral dan akhlak sesetengah pemimpin Wanita dan Puteri UMNO itu lebih baik lagi.
Suka · · Kongsi
0 comments:
Catat Ulasan