SERDANG – Syeikh Dr Khalid Hassan Al-Hindawi, pembantu khas Dr Yusuf
al-Qardhawi, telah diamanahkan Ketua Ikatan Ulama Islam Antarabangsa itu
untuk memberitahu berita dan hal sebenar yang berlaku di Syria.
Beliau yang baru sahaja melawat Indonesia diminta oleh Dr Yusuf
al-Qardhawi untuk ke Malaysia. Seperti mana revolusi yang sedang berlaku
di Yaman dan Syria, beliau juga mengharapkan agar di Malaysia juga
berlaku perubahan yang lebih baik khususnya dalam kalangan umat Islam.
Di Indonesia, Syeikh Khalid telah menerangkan berkenaan isu Syria di
beberapa tempat, dan kemuncaknya, beliau bertemu dengan Presiden
Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono ditemani sahabat dari Partai
Keadilan Sejahtera (PKS). Setelah menerangkan kisah sebenar, akhirnya
Presiden Susilo telah bersetuju untuk menyokong revolusi rakyat Syria.
Menurut beliau, revolusi bermula di Hama, kemudian merebak ke
bandar-bandar lain seperti di Dar’aa, Hauran, Halab bahkan sehingga ia
berlaku di 157 tempat di Syria menentang pemerintahan kejam Basyar
Al-Assad.
Tambahnya, golongan zalim tidak berhenti mengaburkan
kebenaran, tapi mereka gagal, seperti kata Ali r.a. “Pemerintah yang
batil (zalim) itu hanya sementara tetapi pemerintah yang benar kekal
selamanya.”
Kata-kata Ali r.a. bertepatan dengan firman Allah Subhanahu Wa Taala di dalam surah al-Israk ayat 81:
“Dan katakanlah: ”Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah
perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu
sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.”
Dr Khalid melihat
kerajaan Syria pimpinan Basyar Al-Assad dan orang yang sepertinya
sekarang berpolitik ala Firaun seperti mana yang dilakukan oleh
pemerintah Tunisia, Mesir, Yaman, dan Libya. Mereka mencuri harta-harta
rakyat dan memakannya dengan cara yang haram, memenjarakan rakyat
sendiri, membunuh para ulama, melakukan pembunuhan beramai-ramai,
merogol dan mencabul kehormatan wanita-wanita, menghalang perempuan
beriman daripada memakai hijab serta menindas orang yang lemah seperti
orang tua dan kanak-kanak.
Dan mereka ini tidak akan kekal seperti dalam surah ar-Ra’d ayat 17:
“Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang,
manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal
di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan.”
Beliau menceritakan latar belakang sejarah Syria, yang merdeka daripada
penjajahan Perancis pada 1945, dan telah diperintah oleh anak bangsa
Syria sendiri sehingga zaman Hafez Al-Assad yang telah memerintah selama
32 tahun dan diikuti oleh anaknya, Basyar Al-Assad yang kini memerintah
selama 11 tahun.
Syria telah menjadi negara yang diperintah
oleh diktator. Syeikh Khalid menceritakan tentang konflik berdarah di
Hama pada tahun 1982 yang berlaku selama 27 hari, mengorbankan hampir
46,000 ribu penduduk Hama yang merupakan penganut Ahlus Sunnah Wal
Jamaah (ASWJ).
Komposisi rakyat Syria: 6% darinya adalah Syiah
Alawiyah, 10% beragama Kristian dan 84% Muslim ASWJ. Iran mempertahankan
tindakan ganas rejim Hafez dan Basyar yang membunuh rakyatnya sendiri,
begitu juga Hizbullah di Lubnan yang menyokong tindakan Hafez yang
merupakan Syiah Alawiyah. Beliau seterusnya menyebut sifat-sifat Syiah
yang begitu membenci ASWJ, menghina Khulafa Ar-Rasyidin dan
isteri-isteri Rasulullah s.a.w. Sehingga hari ini Iran dan Hizbullah di
Lubnan yang berfahaman Syiah masih menyokong rejim Basyar di Syria.
“Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab kita untuk membela darah
pemuda, pemudi dan huffaz. Kita kena sokong revolusi di Syria, kena
tunjukkan keberanian kita menentang rejim zalim ini.
“Mereka
membenci ASWJ, dan Hizbullah di Lubnan juga menyokong mereka. Jadi kita
perlu menyokong saudara kita di Syria. Sekiranya Hizbullah berani
menyokong Basyar ini, kenapa kita tidak berani menyokong golongan yang
mempelopori revolusi ini?” tegasnya.
Fakta kekejaman rejim
Basyar terhadap revolusi di Syria sekarang menunjukkan kematian 8,500
orang penyokong revolusi, 39,000 orang cedera, sementara 19 doktor serta
40 orang pesakit sebuah hospital di Doma dibunuh dan 180,000 tahanan
dalam penjara diseksa yang mana 413 orang darinya mati dalam tahanan.
Dalam tempoh lapan bulan, telah berlaku revolusi siang dan malam,
rakyat menghadapi senjata berat dan kereta kebal hingga rumah dan masjid
dirobohkankan, wanita dibawa ke tempat yang tidak diketahui, malah ada
wanita yang diperkosa di hadapan suami mereka sambil diikat.
Menurut Syeikh Khalid lagi, seorang remaja perempuan di Homs, bernama
Zainab Al-Husni, 23 tahun, ditangkap dan ingin diperkosa tetapi beliau
melawan. Akhirnya beliau dipotong empat dan dihantar kepada keluarganya.
Ratusan kanak-kanak turut dibunuh hingga ada yang dipotong-potong.
Beliau menegaskan, ”Apakah kita perlu berdiam diri? Bagaimana kita harus bersabar di atas taghut yang kejam ini!“
Rejim Basyar juga telah memaksa kakitangan kerajaan untuk keluar
berdemonstrasi menyokong kerajaan untuk mengaburkan fakta dan
memberitahu dunia bahawa rakyat masih menyokong mereka. Kakitangan yang
tidak menyokong kerajaan akan hilang pekerjaan mereka.
Katanya,
pejuang yang terlibat dalam revolusi akan bersiap, berwuduk dan mandi
dengan wangian kerana mereka bersedia untuk mati syahid. Beliau
menganggarkan 95% rakyat Syria menentang rejim itu walaupun mereka
ditakut-takutkan dan diugut sekiranya turun menyertai revolusi.
Jelasnya, ada maklumat yang silap difahami oleh bukan negara Arab yang
menyangka kononnya rejim Basyar sedang menyerang Israel sedangkan mereka
tidak pernah menyentuh Israel, tetapi mereka membunuh rakyat mereka
sendiri. Malah kapal terbang Israel boleh berada di atas istana Presiden
tanpa diambil sebarang tindakan.
“Selama 43 tahun Bukit Golan
diduduki oleh Israel tetapi regim Hafez Al-Assad dan ayahnya tidak
pernah membunuh walau seorang pun Yahudi, tetapi mereka telah membunuh
ribuan penduduk Hama yang terletak hanya enam kilometer dari Bukit
Golan.”
“Maka di mana buktinya bahawa rejim yang kejam ini menunjukkan permusuhan ke atas Israel?” tanya beliau.
Beliau seterusnya menegaskan bahawa terdapat perjanjian rahsia antara
Syria dan Israel. Basyar merupakan al-Assad (singa) kepada rakyat mereka
tetapi penakut dengan Israel.
Kekejaman rejim Basyar terserlah
sehingga jika ada tentera rejim yang tidak mahu menembak ASWJ, mereka
akan dipenjarakan dan dibunuh. Keadaan ini menyebabkan lebih 30,000
tentera Syria berpaling tadah meninggalkan rejim.
Beliau
seterusnya menyatakan fatwa Rabitah Ulama Syria oleh Dr Ali As-Sobuni
bahawa sekiranya tentera menyerang rumah penduduk, mereka hendaklah
melawan walau dengan sebilah pisau, dan mereka dihukumkan syahid
sekiranya terbunuh berdalilkan hadis berikut:
“Barangsiapa
terbunuh mempertahankan hartanya, maka dia syahid; barangsiapa terbunuh
mempertahankan ahli keluarganya, maka dia syahid; atau mempertahankan
agamanya, maka dia syahid ”(HR Abu Daud, An-Nasaie dan Tirmizi,
disahihkan oleh Al-Albani dan Ahmad dengan sanad yang Sahih).
Sebanyak 18 negara Liga Arab telah bersetuju untuk mengenakan sekatan
politik dan ekonomi ke atas Syria sehingga rejim Syria menghentikan
kekejaman ke atas rakyatnya. Begitu juga, negara-negara Persidangan
Negara-negara Islam (OIC) turut memulau Syria.
Revolusi di
Syria bersangkut-paut dengan tiga sebab utama iaitu penindasan rakyat
lebih 40 tahun, kebangkitan rakyat di negara-negara Arab lain dan
kemuncaknya adalah insiden 20 remaja menconteng dinding dengan menulis
“RAKYAT MAHU JATUHKAN KERAJAAN”. Remaja-remaja itu ditangkap, diseksa,
dicabut kuku, tangan dan kaki, hingga seorang daripadanya meninggal
dunia.
Apabila ibu bapa kanak kanak itu datang untuk
membebaskan anak-anak mereka dari penjara, ketua polis penjara
mengatakan kepada mereka:
“Kamu balik sahajalah, lupakan anak
anak-anak itu dan anggaplah mereka telah tiada…, jika kamu hendak
anak-anak lagi berikan kami isteri-isteri kamu (agar kami rogol), hasil
daripada itulah anak-anak kamu.”
Dari situlah bermulanya
demonstrasi yang semakin hari bertambah momentumnya dari hanya ratusan
ribu hingga pada hari ini 3 juta demonstran telah mengadakan tunjuk
perasaan di 157 bandar seluruh Syria mendesak Basyar berundur. Syeikh
Khalid turut menjelaskan tentang pendirian Dr Sa’id Ramadhan al-Buti
dalam politik Syria. Menurutnya, Dr Sa’id adalah antara lima orang ulama
yang menyokong rejim berbanding 95% ulama yang menentang. Beliau
menyifatkan Dr Sa’id sebagai ulama yang ‘berilmu’ tetapi kurang tajam
dalam perspektif politik.
“Tidak hairanlah para pemuda di sana
membakar buku-buku karangan beliau. Ramai lagi ulama lain yang menulis
buku sirah yang amilin. Jadikanlah ulama-ulama amilin sebagai rujukan,”
katanya.
Akhirnya, beliau menyeru umat Islam membantu rakyat
Syria, menyeru peranan mufakkir, duat, asatizah untuk mengetengahkan dan
sentiasa prihatin tentang isu di Syria, menceritakan kepada masyarakat
tentang kezaliman dan apa yang berlaku di Syria.
Beliau turut
menyarankan kepada para wanita yang solehah, untuk menceritakan
kekejaman yang berlaku kepada saudara perempuan mereka di Syria dan
berdoa untuk mereka.
“Hendaklah kamu berdoa untuk
saudara-saudara kamu di Syria dengan ikhlas, siang dan malam supaya
Allah membantu mereka dan membebaskan mereka daripada kezaliman
pemerintah mereka.”
Sebagai penutup, beliau membaca amanat Dr
Yusuf al-Qardhawi agar umat Islam menghulurkan bantuan berbentuk
kewangan kepada saudara-saudara se-Islam di Syria dalam bentuk zakat dan
sedekah untuk keluarga pejuang yang sedang dipenjarakan dan keseluruhan
rakyat Syria, lebih-lebih lagi musim sejuk akan datang dan mereka
sedang mengalami kekurangan bahan pemanas dan makanan kerana sekatan
pemerintah.
Mudah-mudahan Allah mengurniakan pertolongan yang
seluas-luasnya kepada umat Islam yang sedang dizalimi di Syria,
menghancurkan taghut yang zalim dan menggantikannya dengan pemerintahan
Islam di sana..
0 comments:
Catat Ulasan