Allah Taala telah mentakdirkan bahawa lelaki ada nafsu kepada
perempuan. Perempuan juga ada nafsu dengan lelaki. Hakikat ini tidak
boleh ditolak. Kita tidak boleh lari daripada tuntutan semula jadi itu.
Oleh itu untuk menyelamatkan keadaan maka tujuan kita berkahwin agar
jangan sampai kita melakukan zina yang terkutuk. Mestilah kita berkahwin
agar ia tersalur secara yang halal yang memang dibenarkan oleh Allah
Taala yang Maha Pengasih.
Daripada perhubungan kelamin suami isteri itu, ia sebagai sebab
pertemuan benih kedua jenis manusia yang akan melahirkan zuriat,
anak-anak, cucu-cucu yang ingin sangat kita jaga, asuh, didik, diberi
iman dan ilmu, agar menjadi hamba-hamba Allah yang berakhlak dan
bertaqwa. Yang akan menyambung perjuangan Islam kita agar perjuangan
Islam kita bersambung selepas kita mati. Memang setiap umat Islam yang
belum rosak jiwanya sangat menginginkan generasi.
Kalau begitu tujuan kita berkahwin, kita inginkan anak yang akan kita
didik menjadi seorang Islam yang sejati dan anak itu adalah merupakan
aset kepada kita. Anak itu sendiri pula boleh menjadi harta dan tenaga
kepada Islam.
Dengan perkahwinan itu, jika tujuan kita mendapat anak berjaya, dan
berjaya pula dididik dengan Islam dan menjadi seorang muslim yang
berguna, kemudian dia akan melahirkan cucu yang juga berjaya dididik
secara Islam dengan sebaik-baiknya, berapa banyak pahala yang kita dapat
sambung-menyambung. Itu adalah merupakan aset simpanan kita di Akhirat
kelak
Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Apabila meninggalnya anak Adam maka terputuslah segala
amalannya kecuali tiga perkara iaitu doa anak yang soleh, sedekah jariah
dan ilmu yang bermanfaat. (Riwayat Muslim)
Alangkah indahnya kalau Islam yang maha indah itu dapat menjadi
budaya hidup sebagaimana yang pernah mengisi ruangan dunia ini di masa
yang silam, selama tiga kurun dari sejak Rasulullah SAW. Sekarang
keadaan itu tinggal nostalgia sahaja. Yang tinggal pada hari ini hanya
akidah dan ibadah. Itu pun tidak semua umat Islam berbuat. Kita ingin
sangat keindahan Islam itu dapat diwujudkan. Di dalam suasana keluarga
pun jadilah, kerana hari ini, hendak buat lebih dari itu memang amat
sulit sekali. Lantaran itulah perkahwinan itu amat perlu sekali kerana
hendak melahirkan masyarakat Islam kecil. Moga-moga dari situ akan
tercetus masyarakat Islam yang lebih besar.
Seorang muslim bukan sahaja diperintah untuk mencari keredhaan Allah
Taala tetapi diperintah juga untuk menghiburkan hati kekasih Allah Taala
iaitu Rasulullah SAW, yang mana Rasulullah SAW sangat berbangga dengan
ramainya pengikut atau umatnya di Akhirat kelak. Maka sebab itulah
Rasulullah SAW menyuruh umatnya berkahwin.
Maksudnya: Bernikahlah kamu supaya kamu berketurunan dan supaya kamu
menjadi ramai, kerana sesungguhnya aku akan berbangga dengan umatku yang
ramai di hari Kiamat. (Riwayat Al Baihaqi)
Setiap umat Islam hendaknya apa yang menjadi kesukaan
Rasul-Nya itulah juga kesukaan mereka.
Kalaulah Rasulullah SAW berbangga dan bergembira dengan ramainya
umat, maka kita sepatutnya juga berbangga dengan ramainya umat Islam di
dunia ini. Maka untuk memperbanyakkannya, lantaran itulah kita
berkahwin. Jadi kita berkahwin itu ada bermotifkan untuk meramaikan umat
Islam. Ada cita-cita Islam sejagat. Kita berkahwin itu ada cita-cita
besar, bukan sekadar setakat hendak melepaskan nafsu seks seperti
cita-cita kebanyakan manusia.
Berkahwin itu jangan sampai putus zuriat kerana kita berbangga dapat
menyambung zuriat yang menerima Islam sebagai agamanya dan dengan
keturunan itulah orang kenal siapa asal-usul kita atau mereka.
Tujuan-tujuan lain sebagai maksud tambahan daripada perkahwinan
bahawa setiap lelaki dan perempuan yang menjadi pasangan suami isteri
hendaklah meniatkan satu sama lain hendak memberi hiburan kepada seorang
hamba Allah Taala yang inginkan hiburan, kerana niat menghiburkan orang
mukmin itu mendapat pahala.
Begitulah sebahagian daripada tujuan-tujuan dan maksud-maksud
daripada perkahwinan di dalam Islam. Ia mempunyai cita-cita yang murni.
Melahirkan cita-cita Islam, ingin mewujudkan satu rangkaian dan
elemen-elemen amalan serta suasana Islam. Kalau ia dapat digabungkan
dengan rangkaian-rangkaian dan elemen-elemen golongan yang mempunyai
cita-cita dan tujuan yang sama seperti yang Islam kehendaki,
lama-kelamaan ia akan menjadi satu masyarakat Islam yang lebih besar
lagi, yang syiarnya akan dapat dilihat di mana-mana sahaja di muka bumi
Tuhan ini. Dunia ini akan menjadi amat meriah, ceria, gembira dan
bahagia. Barulah boleh kita meyakinkan orang lain kerana keindahan Islam
itu begitu terserlah.
0 comments:
Catat Ulasan