Khamis, 4 Disember 2008 | By: iKhwan89

PENGERTIAN HAJI


Mengerjakan haji ertinya seseorang hamba itu membawa hatinya kepada Tuhan, mengosongkan fikirannya dari memikirkan dunia
Hati yang merasa hancur luluh kerana takutkan Tuhannya
Hatinya fana' daripada memikirkan dunia dan nikmatnya,hanya kebesaran Tuhan sahaja dirasakannya
Membawa hati yang berdosa, menginginkan rahmat daripada Tuhan agar diampunkan dosanya
Hamba yang hatinya merasakan hina-dina, tidak berguna,mengharapkan kemuliaan daripada Tuhannya
Hatinya yang penuh merasakan kebesaran, keagungan, kekuasaan dan kehebatan Tuhannya
Hati yang mengharapkan hidayah dan taufiq dari Tuhan sepanjang hayatnya
Inginkan keselamatan, keberkatan, ketenangan dan kebahagiaan dari Tuhannya
Hati yang penuh mengharap dosa-dosanya diampunkan,
kesalahan-kesalahannya dimaafkan
Mengharap kepada Tuhan iman ditinggikan, taqwa ditambahkan, istiqamah dikekalkan
Hamba-hamba yang pergi menuju Tuhan, mengharapkan pandangan rahmat dari Tuhannya
Pergi haji seseorang hamba itu mengharapkan dosanya dihapuskan,mati di dalam husnul khatimah yang diharapkan
Membawa hati yang derita kerana dosa-dosanya yang sudah dibuatnya, sedih dengan amalan yang tidak sempurna
Kekurangan amalannya agar ditampung, doanya diterima, kecuaiannya dimaafkan
Pergi haji seseorang itu rasa kesal di hadapan Tuhannya di atas kecuaian dan keterlanjuran
Hati yang penuh tawadhuk, khusyuk, malu berhadapan dengan Tuhannya
Selain itu, manakala melihat kesan sejarah, teringat para Rasul
Sahabat menderita dan terseksa kerana memperjuangkan kebenaran
Terkenang dan terasa sangat jasa-jasa mereka itu hingga Islam hidup berpanjangan
Kerana jasa merekalah Islam sampai kepada mereka ke akhir zaman dan mereka menganutinya
Teringat bagaimana kekasih Tuhan di dalam sejarah, cekal, sabar, redha menerima ujian
Apabila balik ke tanah air membawa perasaan yang insaf dan terkesan
Hingga perasaan itu menjadi pemangkin dan pendorong hendak berjuang sekalipun berhadapan dengan kesusahan
Mati angan-angan kepada dunia, rasa bertuhan dan hambanya penuh di dalam perasaan
Jiwanya sangat hidup, perangainya sangat berubah, ibadahnya bertambah
Menjadi orang yang berkasih sayang, bertimbang rasa,rasa bersama bekerjasama sesama manusia
Halus perasaannya, tinggi kemanusiaannya, bertolak ansur dengan sesama
Itulah kesan seorang yang bertaqwa balik dari haji
Melahirkan manusia baru yang luar biasa, senang hati orang yang melihatnya
Orang yang macam itulah yang mendapat haji mabrur daripada Tuhannya
Pulang membawa jasadnya manusia, hatinya malaikat
Dosanya diampunkan Tuhan, bersih daripada dosa macam bayi yang baru dilahirkan
Itulah dia orang Tuhan kesan daripada haji yang mabrur yang menggembirakan
Begitulah gambaran hati orang yang balik dari haji yang mendapat haji mabrur
Kalau begitu tentu sekali tidak ramai yang mendapatnya,kerana haji yang mabrur itu sangat mahalnya

0 comments:


Ketika Cinta Bertasbih (instrument Hits) - Instrument
Mp3-Codes.com