Jumaat, 26 Disember 2008 | By: iKhwan89

RASUAH ITU PENYAKIT, ZIKRULMAUT ITU PENAWAR

Zikrulmaut itu sangat merangsang manusia agar takut kepada Allah swt. Rasa takut kepada Allah adalah satu keperluan kepada manusia. Sebab itu ianya Allah jadikan satu perintah. Allah swt perintahkan kepada manusia agar takut kepadaNya. Apabila manusia takut kepada Allah bukan Allah yang mendapat untung. Tetapi manusia yang mendapat untung dan faedahnya. Apabila manusia takut kepad Allah swt secara automatik manusia menjadi baik. Bukankah semua manusia menyukai kebaikan kerana ianya adalah fitrah semula jadi manusia. Dan kebaikan manusia itu bukan Tuhan yang untung tetapi manusia sendirilah yang mendapat untung. Sebab itu zikrulmaut adalah amalan para Rasul serta salafussoleh. Ini juga sesuai dengan sabda Rasulullah saw, “KAFA BIL MAUTI WA ‘IZA”. Bermaksud cukuplah kematian sebagai juru nasihat. Mengingati mati adalah jalan yang lebih hampir kepada rasa takut kepada Allah.

Mari kita tinjau sepintas lalu akibat tiada zikrulmaut dan tidak takutkan Tuhan. Ini dapat kita buktikan melalui perkembangan rasuah dalam negara kita. Dalam tahun enam puluhan rasuah masih merupakan kes terpencil dalam masyarakat. Pada waktu itu rasuah disebut dengan istilah “tumbuk” rusuk. Perbuatan yang dianggap asing juga dengan istilah yang asing ini amat jarang berlaku. Kalau ada pun secara kecil-kecilan. Namun kempen menghalangnya sudah pun bermula juga secara kecil-kecilan. Bagi orang kampung pada waktu itu, mereka kurang faham apa itu tumbuk rusuk. Sesekali muncul dipermukaan kain putih Wayang Pacak yang ditayangkan dikampung-kampung dengan cogan kata, “JANGAN TUMBUK RUSUK”.

Dalam tahun tujuh puluhan istilahnya sudah bertukar kepada “Makan Suap”. Perubahan istilah itu mungkin kerana perbuatan rasuah juga sudah semakin popular. Makan suap sudah semakin merebak dalam masyarakat. Contohnya kalau seseorang hendak mendapatkan pekerjaan maka kenalah “suap” orang tertentu, terutamanya apabila tidak memiliki kelulusan yang relevan dengan pekerjaan yang di pinta. Hinggalah kini istilahnya berubah pula dan menjadi lebih mudah disebut iaitu “RASUAH”. Memilih istilah yang mudah disebut mungkin kerana perbuatan rasuah itu sendiri sudah semakin mudah dilakukan oleh siapa saja, dimana saja dan pada bila-bila masa. Rasuah adalah ambilan dari bahasa Arab yang juga ada disebut dalam Hadis Rasulullah saw seperti tajuk diatas.

Mengapa rasuah hukumnya haram? Salah satu kaedah menetapkan hukum dalam Islam ialah melihat kepada natijah akhir yang disebut dalam Al Quran atau Hadis. Apa saja amalan perintah atau suruhan Allah itu sekiranya ditinggalkan maka natijahnya adalah neraka maka kedudukan amalan itu hukumnya adalah wajib, meninggalkan amalan tersebut adalah haram atau berdosa. Begitu juga sekiranya sesuatu tegahan atau larangan Allah itu sekiranya dilakukan dan natijahnya adalah neraka maka hukum amalan tersebut adalah haram. Kesimpulannya rasuah adalah haram, berdosa dan bakal masuk neraka kepada pemberi dan penerimanya.

Perlu diingat dan difahami serta merasa bimbang bahawa sesuatu sumber yang haram itu tidak terlepas dari berkembang, membiak, bercambah, bercabang, beranak yang mana kedudukannya adalah haram sama seperti sumber haram. Kalau dari sumber rasuah yang hukumnya haram itu di jadikan modal perniagaan umpamanya atau apa saja kegunaan maka apa saja yang datangnya dari sumber tersebut maka semuanya haram – makan minum, pakaian, kenderaan, rumah, nafkah anak isteri, harta benda, tanah dan lain-lain. Adakalanya tanpa disedari dan mungkin juga kerana jahil atau nafsu yang rakus, maka ramai yang terjebak kepada keadaan seumpama ini. Apabila menjadi harta warisan maka bersambung lagi “Jariah Haram” sebagai harta peninggalan. Orang yang mewariskan harta haram itu akan tanggung dosanya berpanjangan dikubur dan diakhirat kelak. Anak-anak turut mengecapi perkara haram ini dan tidak mustahil mereka juga turut terlibat dalam mengembangkan “Jariah Haram” warisan bapanya hingga entah berapa generasi terkemudian. Kita mungkin sudah lupa namun Tuhan tidak lupa, Maha Suci Allah dari sifat lupa.

Rasuah hukumnya haram. Hukum haramnya rasuah itu sama saja dengan parkara-perkara haram yang lain. Ianya berlaku pesat, menjalar bebas dan berleluasa dalam masyarakat. Semakin besar pangkat, semakin tinggi status sosial, semakin berkuasa, semakin cerdik, pintar dan licik seseorang itu maka semakin besar dan banyaklah nilai rasuahnya samada yang memberi atau yang menerima. Sama saja situasinya dengan perkara haram yang lain itu seperti judi, arak, riba, mencuri, zina, dadah, rata-rata masyarakat umum tahu hukumnya haram.

Undang-undang dunia atau sivil juga menetapkan ianya adalah salah. Malah sudah ramai yang disabitkan bersalah dan sudah menjalani hukuman. Namun persoalannya apakah haram disisi Allah dan salah disisi Undang-undang itu tidak langsung menyekat atau menegah berleluasanya perkara haram itu termasuh rasuah. Ini satu persoalan yang seharusnya difikirkan. Ini memberi isyarat bahawa kalau sekadar tahu kedudukan haram, bukan satu jaminan manusia tidak melakukannya. Cuba lihat contoh lain, siapa dikalangan umat Islam yang tidak tahu bahawa meninggalkan sembahyang itu adalah dosa yang amat besar. Semua tahu hukumnya wajib dan mesti ditunaikan. Tetapi mengapa masih terlalu ramai umat Islam yang tidak bersembahyang? Mengapa ulama pun turut tidak faham persoalan ini. Ulama juga lebih cenderung untuk menyatakan hukum sesuatu perkara tetapi tiada pendekatan untuk melahirkan manusia benci kepada perkara haram. Inilah yang saya maksudkan yakni dalam keadaan masyarakat tahu rasuah itu haram mengapa rasuah tetap berleluasa? Apabila membiaknya pengkid, para ulama nampaknya sudah berpuas hati dengan fatwa haram. Selepas itu mengharamkan pengkid pun lenyap. Sedangkan realitinya soal meninggalkan sembahyang itu lebih besar serta rata-rata masyarakat tahu kedudukan hukum meninggalkan sembahyang. Tapi mengapa ramai yang tidak bersembahyang?

Kedudukan rasuah kini ibarat satu kebun yang dipenuhi dengan tanaman. Pada peringkat permulaan, tanaman itu tanpa pagar sebab tiada musuh tanaman. Apabila musuh tanaman seperti babi, kambing, berbau dan lembu meragut tanaman, maka pagar mula dibina. Maka ditubuhkan Biro Siasatan Negara(BSN). Pagar yang awal itu rupa-rupanya tidak berupaya membendung musuh tanaman maka dibina pagar yang lebih kukuh iaitu Badan Pencegah Rasuah (BPR). Nampaknya BPR juga tidak berkesan membendung atau mencegah rasuah. Kini dibina pula satu lagi pagar yang bunyinya memang lebih gagah iaitu “SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA.”

Disini saya bukan hendak membahaskan aspek peranan badan ini dari BSN ke BPR dan kini dibawah kuasa yang lebih besar iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Apa yang saya ingin katakan ibarat pagar tanaman diatas tadi. Sekarang ini membuktikan bahawa masalah rasuah sudah terlalu serius. Seolah-olah tanaman itu sudah bertamah musuhnya yang melibatkan termasuk gajah. Jangan ada pihak yang cuba menafikan bahawa rasuah tidak serius. Kalau rasuah tidak serius apa perlunya BSN ditukar kepada BPR dan kini yang berubah pula berada dibawah SPRM. Untuk apa? Apa yang lebih penting difikirkan ialah siapa sebenarnya yang terlibat dengan rasuah? Sehingga sekadar BSN dan BPR sahaja tidak berkesan dan terpaksa pula diberi kuasa kepada taraf Suruhanjaya. Dan apakah ada jaminan bahawa selepas ini rasuah akan menjunam kepada sifar?

Kita jaja merata dunia bahawa negara kita adalah sebuah negara Islam. Bagaimana dalam sebuah negara Islam perkara fasad dan mungkar berlaku dengan bebas dan ketara banyaknya temasuk rasuah. Sepatutnya kita malu hendak mengaku sebagai negara Islam kerana golongan yang kononnya pendokong kepada pemerintahan merupakan kalangan yang paling banyak terjebak dengan perkara haram termasuk rasuah. Suatu ketika dahulu para pemimpin Buddha di Thailand memprotes keras terhadap cadangan kerajaan Thailand untuk membina sebuah kasino bertaraf antarabangsa. Biar pun projek tersebut dibatalkan namun golongan pemerintah memberi alasan, “Sedangkan Malaysia sebuah negara Islam pun boleh membina Kasino di Genting.” Tidak mustahil suatu masa nanti negara lain akan kata, “Sedangkan Malaysia sebuah negara Islam pun rasuah amat ketara hingga terpaksa di wujudkan SPRM”.

Apabila disebut Islam, yang pertama dan paling utama ialah Tuhan, diiringi dengan syariat Tuhan. Antara Tuhan dengan syariatnya tidak dapat di pisahkan. Hanya orang yang kuat hatinya dengan Tuhan, takut dan cinta kepada Tuhan sudah pasti akan mengamalkan syariat Tuhan. Mereka ini amat ringan serta seronok menunaikan perintah Allah swt dan sekaligus amat ringan dan mudah meninggalkan segala perkara fasad dan mungkar. Perkara-perkara haram mereka lihat dengan perasaan jijik umpama melihat tahi ayam. Rasa jijik itu kerana didorong oleh hati yang takut kepada Allah. Para Sahabat yang berhasil dididik oleh Rasululullah dengan iman dan taqwa, kalau sekadar terlajak atau terbuat dosa kecil sahaja, mereka merasakan seperti gunung hendak menghempap kepala. Kerana tidak takutkan Tuhan, kita kini kalau dengan sengaja melakukan dosa besar sekali pun, dirasakan seperti kapas jatuh dikepala.

Natijah dari tiada rasa berTuhan, mengamalkan perintah Tuhan atau syariat Tuhan akan dirasakan sebagai beban. Kalau diamalkan tidak terasa keindahannya, tidak dengan kerelaan, bahkan rasa terpaksa. Kalau berhadapan dengan risiko atau cabaran amat mudah pula syariat itu terbarai dan terabai. Kesimpulannya disini, apabila disebut negara Islam, rakyatnya atau orangnya, dari kalangan pemimpin hinggalah kepada rakyat jelata adalah sangat takut dan cintakan Tuhan. Tuhan dirasakan segala-galanya, cita-cita dan matlamat hidupnya adalah Tuhan. Hidup matinya adalah Tuhan. Kemudian barulah bersyariat atau memakai sistem Islam. Kalau sekadar sistemnya saja yang Islam tetapi orangnya atau masyarakatnya tidak Islam, maka bukan negara Islam namanya. Ini yang berlaku sekarang. Sistemnya hendak dibuat mengikut syariat tetapi orangnya tidak kenal Tuhan, tidak takutkan Tuhan, tinggalkan sembahyang, melakukan rasuah serta berbagai fasad dan mungkar.

Para pemimpinnya bercakap mengenai Islam, seolah-olah wira dan jaguh menegakkan Islam. Namun tidak pernah bercakap mengenai Tuhan. Rakyat pula terpesona dan kagum. Sedangkan merekalah sebenarnya pembohong dan penyangak besar, wira dan jaguh dalam melakukan rasuah, fasad dan mungkar. Mereka sebenarnya yang paling tidak pedulikan Tuhan, tidak kenal Tuhan dan tidak takutkan Tuhan. Patut disedari, antara pemimpin dengan rakyat umpama kayu dengan bayangnya. Kayu yang bengkok, bayangnya sudah pasti bengkok. Selagi pemimpin bukan dari kalangan yang kenal Tuhan, mengutamakan Tuhan, takut dan cintakan Tuhan, selama itulah rasuah fasad dan kemungkaran akan kekal berleluasa dalam negara.

Faktor pemimpin, ibarat kayu yang lurus pasti membentuk bayang yang lurus. Ini amat penting. Khalifah Omar Ibnu Abd Aziz, menjadi faktor kepada rakyatnya yang amat baik. Sebahagian rakyatnya yang miskin dan layak menerima zakat pun menolak zakat kerana mereka merasai kaya dengan mendapat Tuhan. Seolah-olah dengan hidup berTuhan itu mereka merasa kaya dan turut merasakan tidak layak menerima zakat. Zaman kita ini orang kaya pun merasa tidak cukup dan merasa miskin. Lantaran itulah masing-masing menjadi rakus dan tamak, tidak mengira halal atau haram termasuk rasuah. Pemimpin yang membesarkan Tuhan seperti Khalifah Omar Ibnu Abd Aziz itu, secara otamatik berlakulah perpindahan rasa berTuhan kepada rakyat jelata. Bahkan limpahan berkat terjadi kepada haiwan serta tumbuhan. Haiwan ternakan membiak, manakala tanaman menjadi subur dan hasilnya berganda. Bukan sahaja manusianya hidup berkasih sayang, bersatu padu, aman damai, dan harmoni, bahkan haiwan bermusuh pun turut berdamai. Bagitulah yang berlaku dizaman pemerintahan Khalifah Omar Ibnu Abd Aziz dimana serigala dan kambing pun boleh bebas berkawan. Hati ganas serigala terhadap kambing turut lunak. Begitu besar erti limpahan berkat dan rahmat Tuhan melalui pemimpin yang amat beriman dan bertaqwa. Hari dimana Khalifah meninggal dunia, pada hari itulah tiba-tiba serigala menerkam kambing. Ini kerana “Bayang” yang lurus milik Khalifah sudah diangkat oleh Tuhan.

Sangat menghairankan serta menjadi tanda tanya! Dalam sebuah negara Islam seperti Malaysia ini pemimpinnya amat kurang atau mungkin tiada langsung memperkatakan tentang Tuhan, memperkenalkan Tuhan, mengajak dan mempromosikan untuk takut dan cintakan Tuhan. Kalau demikian, dimana Islamnya? Jawabnya hanya tinggal pada slogan, tempelan, tempekan, penyedap kata-kata tetapi kosong dari roh dan amalan. Alhasil gembar-gembur hendak membanteras rasuah tetap kekal menjadi modal politik umpama cerita dalam buku bacaan kanak-kanak. Kisah seorang pencuri yang menjerit sekuat-kuatnya mengajak penduduk kampung mengejar pencuri. Jeritannya itu bertujuan untuk menyorok, menyembunyikan dan melindungi bahawa dirinya itulah pencuri yang sebenar. Kini bertempik untuk membanteras rasuah. Siapa sebenarnya yang rasuah? Apabila di sebut-sebut ada terlibat dengan rasuah, lantas dengan segera menafikannya dan minta bukti. Disinilah relevannya zikrulmaut itu didingat-ingatkan selalu supaya timbul rasa insaf dan sedar bahawa tanpa dapat bukti didunia ini Tuhan tetap merekodkan segala perbuatan termasuk rasuah yang tersorok dan tersembunyi. Lintasan dan detik hati pun Tuhan tahu dan Tuhan tidak pernah lupa. Inilah agenda pencegahan rasuah yang paling berkesan, andainya kita benar-benar mahu melihat rasuah menjadi sifar. Di Hadapan manusia siapa saja boleh berlakon tetapi tidak sama sekali disisi Allah swt yang maha mengetahui.

0 comments:


Ketika Cinta Bertasbih (instrument Hits) - Instrument
Mp3-Codes.com