Lidah yang lembut itu sepatutnya mengeluarkan
kata-kata yang menyejukkan hati
Lafaz-lafaz yang dituturkannya menjadikan
orang berkasih sayang
Bahasa yang diucapkan mendamaikan
dua golongan yang selisih faham
Tapi apa yang terjadi kepada lidah manusia hari ini
Ia telah merobek-robek hati dan jiwa manusia
Maruah manusia telah dihancurleburkannya
Lidah telah memecah-belah di antara sesama manusia
Begitulah ilmu, sepatutnya menerangkan
kehidupan manusia di dunia
Tapi ilmu telah menjadikan jiwa-jiwa dan hati-hati
yang empunya mati atau buta
Ilmu pada seseorang telah mengoyak-ngoyakkan
Iman yang dimilikinya
Ia telah merobek-robek taqwa seseorang
Hingga cacat taqwanya
Ilmu tidak lagi memerdekakan hamba dengan Tuhannya
Makin banyak ilmu semakin jauh dengan Tuhan
Ini adalah disebabkan niat menuntut ilmu kerana dunia
Atau kerana mengejar nama atau glamour
Sebab-sebab lain kerana yang empunya cerita
rasa bertuhan sudah tidak ada
Atau Tuhan sudah tidak diambil pusing atau diutama
Rasa bertauhid sudah tidak ada
Takut dengan Tuhan sudah jauh dari hati manusia
Kerana inilah lidah sudah disalah guna
Ilmu-ilmu sudah tidak lagi berperanan di tempatnya
Akibatnya kerana lidah dan ilmu
Telah merosakkan manusia
Sama ada yang empunya
mahupun selain dirinya
Selepas Asar
29-10-1999
1 comments:
singgah dan follow sini... teruskan usaha menyebarkan ilmu2 yg bermanfaat ini, kawan.. :)
Catat Ulasan