Petikan:" Ada golongan yang tahu mereka adalah hamba dan juga khalifah Allah, tetapi hanya setakat tahu. Mereka tidak ada kekuatan dan mereka cuai melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah Allah "
Tujuan manusia dihidupkan adalah untuk berperanan sebagai hamba dan khalifah-Nya. Tugas atau peranan manusia di sisi Tuhan ada dua. Pertama, sebagai hamba Allah, dan kedua, sebagai khalifah Allah di muka bumi.Allah ada berfirman di dalam Al Quran yang bermaksud: "Tidak aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk mengabdikan diri kepada Ku." Mengabdikan diri di sini bermaksud memperhambakan diri iaitu membuat segala sesuatu hanya kerana Allah SWT.Mengabdikan diri ada dua bentuk:Pertama, sebagai hamba, manusia perlu melaksanakan ibadah-ibadah yang berbentuk khususiah.Kedua, sebagai khalifah perlu pula menunaikan ibadah-ibadah yang berbentuk umumiah.Dalam ertikata yang lain, manusia perlu menegakkan dua fardhu iaitu sebagai hamba, dia perlu menegakkan fardhu ain dan sebagai khalifah pula dia perlu menegakkan fardhu kifayah. Allah ada juga berfirman: "Akan ditimpa kehinaan di mana sahaja kamu berada melainkan kamu menegakkan dua hubungan iaitu hubungan dengan Allah (hablumminallah) dan hubungan sesama manusia (hablumminannas)."Boleh juga dikatakan bahawa sebagai hamba, manusia perlu menegakkan tamadun rohaniah dan sebagai khalifah, manusia perlu menegakkan tamadun lahiriah.Dalam hendak menjadi hamba dan khalifah Allah ini, manusia terbahagi kepada berbagai tahap dan kategori, iaitu:* Ada manusia yang langsung tidak tahu dan tidak sedar bahawa mereka itu adalah hamba dan khalifah Tuhan. Golongan ini ialah golongan kafir terutama golongan komunis yang menolak terus akan kewujudan Tuhan. Mereka berbuat apa sahaja yang mereka suka di muka bumi ini dan mereka menggantikan tempat Tuhan dengan nafsu mereka sendiri. Allah berfirman di dalam Al Quran: "Tidakkah engkau lihat mereka yang mengangkat nafsu mereka sebagai Tuhan mereka."* Ada golongan manusia yang tahu mereka adalah hamba dan juga khalifah Allah. Akan tetapi mereka hanya setakat tahu dan tidak lebih dari itu. Ilmu mereka tentang itu hanya bersemadi di akal fikiran mereka sahaja. Oleh yang demikian, mereka tidak ada kekuatan dan mereka cuai untuk melaksanakan tugas-tugas dan tanggungjawab mereka sebagai hamba dan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Mereka adalah golongan awamul muslimin atau orang Islam biasa.* Golongan yang seterusnya ialah manusia yang bukan sahaja setakat tahu tapi sudah mampu merasakan bahawa mereka itu hamba Allah sekaligus khalifah Allah di muka bumi ini. Disebabkan perkara tersebut telah meresap ke hati dan dapat dirasakan, maka golongan ini ada kekuatan dan lebih komited. Namun demikian kekuatan rasa-rasa ini berbeza-beza. Ada golongan yang rasa kehambaan dan kekhalifahan mereka itu biasa atau sederhana sahaja. Dengan itu mereka sedikit sebanyak dapat memperhambakan diri kepada Allah dan dapat pula bertanggung jawab sebagai khalifah Allah sesuai dengan kedudukan dan kemampuan mereka masing-masing. Inilah orang-orang soleh atau golongan Ashabul Yamin (golongan kanan).* Ada golongan yang rasa kehambaan dan rasa kekhalifahan mereka lebih dalam dan lebih tajam. Justeru itu mereka lebih kuat dan lebih komited. Peranan mereka sebagai hamba dan sebagai khalifah juga lebih besar dan lebih hebat kalau dibandingkan dengan orang-orang soleh. Mereka ini ialah orang-orang Muqarrobin (orang-orang yang hampir dengan Allah).* Ada pula golongan yang tenggelam dalam rasa kehambaan dan rasa kekhalifahan mereka. Tidak ada lagi kepentingan yang lain bagi orang-orang yang seperti ini melainkan Allah semata-mata. Inilah golongan As Siddiqin (yang benar).* Dalam pada itu ada pula golongan manusia yang rasa kehambaan dan rasa kekhalifahan mereka tidak seimbang. Ada yang rasa kehambaan mereka lebih menonjol. Dengan demikian mereka banyak terdorong untuk beribadah, berwirid, berzikir, bertasbih, membaca Al Quran dan sebagainya. Peranan mereka sebagai khalifah kurang. Mereka ini ahli-ahli ibadah atau golongan abid.* Ada pula manusia yang rasa kekhalifahan mereka pula lebih menonjol. Mereka ini banyak terdorong untuk membuat kerja-kerja kemasyarakatan dan kepimpinan selaras dengan syariat Tuhan. Ibadah mereka sederhana sahaja. Mereka ini golongan pemimpin yang baik.Marilah kita sama-sama memupuk dan menajamkan rasa kehambaan dan rasa kekhalifahan ini kerana rasa-rasa inilah yang menjadi kekuatan bagi kita untuk melaksanakan peranan kita sebagai hamba dan sekaligus sebagai khalifah Allah. Setakat mana rasa-rasa ini dapat ditajamkan, maka setakat itulah dapat kita berperanan. Di dalam konteks yang sama, setakat mana kita dapat berperanan sebagai hamba dan sebagai khalifah, ia menjadi kayu ukur setakat mana sebenarnya tahap rasa kehambaan dan rasa kekhalifahan yang ada di dalam hati kita.
AI Prompt Ace Review
Setahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan