Sabtu, 22 Ogos 2009 | By: iKhwan89

Burulah Rahmat Allah, Jangan Kejar Fadhilat Ibadah


Kalau ada orang yang berusaha, bekerja dan berjuang bertungkus-lumus
untuk mengejar dunia, untuk mendapatkan harta benda, kekayaan, glamour,
nama dan pujian, pangkat, gelaran, darjah kebesaran, kuasa, perempuan
dan sebagainya tanpa mempedulikan nasib mereka di Akhirat, maka jelas
mereka itu rugi dan tertipu.

Namun begitu kalau ada orang yang berusaha, bekerja dan berjuang
bertungkus-lumus untuk mengejar Akhirat iaitu untuk mendapatkan Syurga,
dengan melakukan berbagai-bagai ibadah sebanyak-banyaknya dan dengan
mencari dan mengejar fadhilat, dengan tujuan untuk mengumpulkan
sebanyak-banyak pahala maka dikhuatiri mereka juga rugi dan tertipu.

Tetapi, kalau ada orang yang berusaha, bekerja dan berjuang
bertungkus-lumus hanya kerana Allah, kerana merasakan dirinya seorang
hamba dan sudah menjadi kewajipannya untuk taat dan berbakti kepada
Allah, kerana merasakan tugasnya sebagai hamba tidak lain dan tidak
bukan hanyalah untuk mengabdi diri kepada Allah, untuk menagih simpati,
belas kasihan, keampunan dan kasih sayang Tuhan, untuk menyatakan
kesyukurannya ke atas segala nikmat yang telah dikurniakan- Nya, untuk
mendapat keredhaan Allah, yang beribadah atas dorongan rasa bertuhan dan
rasa kehambaan yang terpahat di hatinya dan untuk mendapatkan Tuhan itu
sendiri maka inilah jalan yang lurus dan hak.

Justeru itu, kalau ada orang yang mengajak kita kepada dunia yang
semata-mata dunia, dan yang tidak ada nilai Akhiratnya, maka itu adalah
satu penipuan yang amat nyata.

Kalau ada pula orang yang mengajak kita kepada Akhirat yakni semata-mata
untuk mendapat Syurga dengan mengejar fadhilat-fadhilat dan
kelebihan-kelebihan amalan, maka itu juga dikhuatiri adalah satu
penipuan yang akan merugikan kita.

Tapi kalau ada orang yang mengajak kita kepada Tuhan, yang mengajak kita
untuk mengenali Tuhan, yang mengajak kita untuk rasa bertuhan dan
merasakan bahawa diri kita ini hamba, yang mengajar kita supaya takut
dan cinta kepada Tuhan, maka inilah jalan kebenaran iaitu jalan yang
ditunjukkan oleh para rasul.

Kedudukan seorang hamba di sisi Allah bukan diukur kepada berapa banyak
ibadah dan fadhilat-fadhilat yang diamalkannya tetapi kepada apa yang
ada di dalam hatinya, iaitu keimanannya, keyakinannya dan ketaqwaannya.
Kepada kebersihan hati dan jiwanya. Kepada rasa takut, cinta, gerun,
hebat, tawakal, pergantungan, harapan dan penyerahannya kepada Tuhan.
Ibadah seorang hamba itu hanyalah manifestasi dari apa yang wujud dalam
hatinya. Ibadah seorang hamba adalah dari rasa cinta dan takutnya kepada
Tuhan. Dari rasa kehambaannya yang begitu mendalam dan sifat-sifat hamba
yang tajam di hatinya seperti rasa hina, berdosa, dhaif, lemah, malu dan
sebagainya di sisi Tuhan. Lagi kuat iman dan lagi tinggi taqwa seseorang
hamba itu maka lagi kuat dan tekunlah dia beribadah, lebih kemaslah
syariat dan lebih mulialah akhlaknya.

Memang Allah ada menjanjikan Syurga bagi orang yang beriman dan beramal
soleh. Tapi itu hak Tuhan untuk memberi, bukan hak manusia untuk
menuntutnya. Syurga terlalu mahal untuk dibeli dengan amal ibadah.
Jangankan Syurga, nikmat sebelah mata pun tidak dapat dibayar dengan
ibadah seumur hidup. Belum mata yang sebelah lagi, telinga yang
mendengar, hidung yang menghidu. Belum lagi makanan yang dimakan, air
yang diminum dan oksigen yang dihirup sepanjang hidup. Belum lagi segala
anggota tubuh dan organ di dalam badan. Belum lagi nikmat akal yang
berfikir dan hati yang merasa. Dan belum lagi nyawa dan roh yang
dengannyalah kita dapat mengetahui dan merasakan hakikat kewujudan ini.
Tidak ada manusia yang masuk ke Syurga kerana amal ibadahnya. Tidak juga
para nabi dan para rasul. Tidak juga Rasulullah SAW. Baginda sendiri
masuk ke Syurga semata-mata kerana rahmat Allah.

Kalau rahmat Allah lah yang menjadi sebab seseorang hamba itu masuk ke
Syurga maka orang yang mahukan Syurga sepatutnya memburu rahmat Allah
ini dan bukan fadhilat-fadhilat, kelebihan amalan ataupun pahala.
Fadhilat, kelebihan amalan dan pahala tidak akan mendatangkan rahmat
Tuhan. Allah memberi rahmat-Nya hanya kepada hamba-hamba yang dikasihi
dan dicintai-Nya. Oleh itu cinta dan kasih sayang Tuhanlah yang patut
dicari dan diusahakan. Tidak ada jalan lain untuk mendapat kasih sayang
Tuhan melainkan dengan bertaubat, membersihkan hati, memperbaiki diri,
mempertingkatkan iman dan ketaqwaan, menanam rasa bertuhan dan rasa
kehambaan di hati, memupuk rasa takut, cinta, gerun, hebat dan rindu
kepada Tuhan, menajamkan sifat-sifat kehambaan seperti malu, hina, rasa
berdosa, dhaif, lemah dan sebagainya di hadapan Tuhan dan mengabdikan
diri keseluruhannya kepada Tuhan.

Apalah maknanya kita mengejar pahala yang merupakan hadiah dan pemberian
dari Tuhan kalau Tuhan tidak sayang kepada kita. Adalah lebih baik kita
menagih cinta dan kasih sayang Tuhan walaupun tanpa hadiah dan
pemberian. Kalau Allah sudah sayang dan cinta kepada kita, bukankah itu
seperti telah mendapat segala-galanya. Apalah nikmat yang ada pada
hadiah dan pemberian Tuhan berbanding nikmat mendapat kasih sayang Tuhan
itu sendiri. Nikmat kasih sayang Tuhan lebih besar dan lebih agung.
Betapa hebat pun nikmat Syurga di Akhirat nanti, semua itu kecil
berbanding nikmat dapat melihat wajah Tuhan. Kalau melihat wajah Tuhan
pun sudah mengalahkan nikmat Syurga, apatah lagi nikmat mendapat cinta
dan kasih sayang
Tuhan.

Memang di dalam ibadah ada fadhilat-fadhilat dan kelebihan-kelebihan nya.
Akan tetapi itu semua adalah anugerah Allah kerana kasih dan sayang-Nya.
Janganlah pula itu kita jadikan matlamat ibadah kita. Seperti juga
Syurga. Ia satu anugerah kepada hamba-hamba Tuhan yang beriman dan
beramal soleh. Tapi janganlah pula Syurga itu kita jadikan matlamat
ibadah. Ibadah yang kita lakukan mesti tetap kerana Allah dan sebagai
pengabdian kita kepada-Nya. Moga-moga dengan itu Allah redha dan sayang
kepada kita. Moga-moga Allah mengampunkan kita dan menerima kita sebagai
hamba-hamba- Nya.

Janganlah kita terlalu menghargai, menginginkan dan mengidamkan hadiah
yang Allah akan beri tetapi lupa untuk memuja, menyanjung, menyayangi
dan mengagungkan Allah yang memberi hadiah itu. Janganlah pula kita
seperti kanak-kanak yang melompat, melonjak dan bersorak-sorai
kegembiraan kerana mendapat gula-gula dari ayahnya hingga terlupa dia
akan kehadiran ayahnya dan terlupa dia untuk berterima kasih padanya.

0 comments:


Ketika Cinta Bertasbih (instrument Hits) - Instrument
Mp3-Codes.com