Roh yang ada di dalam diri kita ini terlalu abstrak (seni). Sifatnya
sensitif, selalu berubah- ubah, sekejap baik dan sekejap jahat.
Perubahan ini berlaku terlalu cepat sekali sehingga susah untuk kita
mengesannya. Ini menyebabkan banyak sifat-sifat yang baik telah terabai
dan sifat-sifat yang buruk (jahat) dibiarkan bermaharajalela dalam diri
sama ada disengaja atau tidak, disedari atau tidak. Sifat-sifat roh
terbahagi kepada dua iaitu:
1. Sifat-sifat mahmudah (sifat positif atau sifat-sifat yang baik)
2. Sifat-sifat mazmumah (sifat negatif atau sifat-sifat yang keji)
Pertama: Sifat-sifat mahmudah, antaranya:
a) jujur
b) ikhlas
c) tawadhuk
d) amanah
e) taubat
f) sangka baik
g) pemaaf
h) pemurah
i) syukur
j) zuhud
k) tolak ansur (timbang rasa)
l) sabar
m) redha
n) berani
o) lapang dada
p) lemah lembut
q) kasih sayang
r) selalu ingat mati
s) tawakal
t) takut Allah
Kedua: Sifat-sifat mazmumah, di antaranya:
a) riyak
b) ujub
c) sum'ah
d) takabur atau sombong
e) hasad dengki
f) pemarah
g) dendam
h) bakhil
i) penakut
j) cinta dunia
k) gila pangkat
l) gila puji
m) jahat sangka
n) putus asa
o) tamak
Kajian terhadap sifat-sifat mahmudah dan mazmumah ini sangat penting
kerana dengan adanya ilmu ini memudahkan seseorang itu mengenal hakikat
dirinya. Yakni, kenal sungguh tentang sifat batinnya. Bila sifat baik
dan sifat jahat sudah dikenal pasti ada dalam diri seseorang itu maka
tindakan yang perlu dilakukan ialah:
1. Sifat-sifat yang terpuji (mahmudah) itu hendaklah kita pertahankan,
suburkan, pertajamkan dan kekalkan kerana sifat-sifat ini dikehendaki
dan diperintahkan oleh Allah dan Rasul serta digemari oleh manusia
seluruhnya, yang mana itulah bunga diri pada seseorang.
2. Sifat-sifat yang terkeji (mazmumah) pula hendaklah ditumpaskan,
dikikis, dibuang, dihapus dan dicabut. Ini perlu dilakukan melalui
proses mujahadatun nafsi (melawan hawa nafsu). Yakni melalui latihan
terus-menerus terhadap nafsu (riadatun nafsi). Wajib dicabut buang
sifat-sifat keji ini kerana sifat-sifat ini sangat dibenci oleh Allah
dan rasul serta dibenci oleh manusia seluruhnya.
Untuk mendapat akhlak yang baik (terpuji) macamlah proses mendapatkan
buah yang baik dan manis. Ia didapati setelah ditanam daripada
benih-benih yang baik dan manis. Begitulah juga untuk melahirkan
perbuatan dan tindakan yang baik serta akhlak yang baik itu adalah
dengan menanam benih-benih yang baik di dalam roh (hati). Yakni
benih-benih sifat-sifat mahmudah seperti kasih sayang, rasa simpati,
rasa malu, sukakan ilmu pengetahuan, pemurah, pemaaf, sabar dan
lain-lain lagi. Buah yang masam adalah hasil ditanam benih yang masam.
Begitulah perbuatan atau tindakan yang buruk atau akhlak yang buruk
(keji) adalah berpunca daripada ditanam benih-benih yang keji (mazmumah)
di dalam roh (hati).
Adapun benih-benih mahmudah dan benih-benih mazmumah yang wujud dalam
roh (hati) hanya dapat dikesan oleh mata hati yang dibantu oleh ilmu
mengenainya. Bukan dengan mata kepala yang sifatnya tidak dapat
menjangkau dan merasainya. Yakni roh melihat roh. Hanya roh yang dapat
mengenali atau mengesan roh.
Ini bererti, mengesan sifat-sifat roh ini mestilah melalui kepekaan
pandangan mata hati serta dibantu oleh ilmu. Perjalanan roh ini laju dan
sentiasa berubah-ubah, sensitif dan berbolak-balik dari detik ke detik.
Kalau kita tidak peka dalam mengesannya setiap saat, kita akan rugi.
Tidak peka dalam mengesan sifat-sifat yang baik bererti kita telah
mengabaikan sifat-sifat roh yang baik atau perasaan-perasaan yang baik.
Maka sifat baik tadi jadi tidak subur. Macam menanam pokok tanpa disiram
air, tanpa diberi baja, tanpa dijaga, walaupun pokok itu boleh tumbuh
tetapi daunnya kuning, kering, akhirnya mungkin mati. Yang baiknya,
perlu ada guru mursyid yang memberi pimpinan atau didikan (yang dapat
memimpin hati kita, asalkan kita sanggup mentaatinya).
Tidak peka dalam mengesan sifat-sifat mazmumah (jahat)bererti kita
biarkan mazmumah itu berada dalam diri. Dari hari ke hari mazmumah itu
kian subur bersama suburnya jasad lahir. Akhirnya ia menguasai diri dan
kehidupan kita. Ketidakpekaan tadi menyebabkan mazmumah itu tetap
bersarang di dalam hati (roh), tidak ditumpaskan, dikikisbuangkan dan
dicabut. Akhirnya hati yang jahat itu mendorong untuk melakukan
perbuatan atau tindakan-tindakan jahat atau akhlak-akhlak jahat. Yang
kerananya akan merosakkan pergaulan dan menerjunkan kita ke Neraka.
Bagaimanakah kaedah untuk mengesan kelajuan perubahan sifat-sifat roh
yang sentiasa berubah-ubah dan berbolak-balik ini? Cara mengesan
benih-benih sifat-sifat roh (hati) ialah roh melihat roh atau roh
meneropong roh. Diteropong, dikaji dan diselidiki sebaik-baiknya dengan
dibantu oleh ilmunya untuk memastikan di kala mana berlaku sifat-sifat
yang baik dan di waktu mana berlaku sifat-sifat jahat. Bila didapati roh
(hati) bersifat baik maka hendaklah disuburkan. Di waktu roh (hati)
bersifat jahat maka dikekang dan dilawan, serta ditahan.
CONTOH SIFAT-SIFAT MAHMUDAH:
1. Sifat kasih sayang
Dengan pandangan mata hati (mata roh) kita akan dapat mengesan adanya
benih kasih sayang dalam hati. Ia adalah fitrah semula jadi yang murni.
Yakni hati terasa terhutang budi kepada orang yang membantu atau berjasa
kepada kita. Mengikut istilah syariat dikatakan rasa syukur atau rasa
hendak balas budi. Ini sifat baik (positif). Apabila didapati ada
sifat-sifat ini dalam hati hendaklah disuburkan, dipertajamkan dan
dikekalkan serta dilaksanakan supaya kita jadi orang yang berterima
kasih pada manusia. Lebih-lebih lagi bersyukur kepada Allah kerana
nikmat-Nya yang tidak pernah putus-putus. Rasa kasih sayang ini
diperintahkan oleh Allah dan Rasul. Rasulullah bersabda:
Maksudnya: "Barang siapa yang tidak mengasihi sesama manusia maka
dia tidak dikasihi Allah." (Riwayat Tirmizi)
Hadis ini menyuruh kita untuk berkasih sayang. Ia mendorong kita untuk
saling mengasihi antara manusia dan makhluk Allah yang lain. Suburkan
dan tajamkan lagi sehingga matang bersama matangnya jasad lahir kita.
Lakukan bermacam-macam cara untuk suburkan sifat kasih sayang ini.
2. Rasa simpati, timbang rasa atau tolak ansur Benih rasa simpati atau
timbang rasa ini dapat dikesan ada dalam hati bila berhadapan dengan
orang yang mendapat kesusahan. Walaupun kita tidak dapat menolong dan
membantunya tetapi secara automatik timbul rasa belas kasihan atau
simpati itu. Setelah dikesan didapati ada sifat baik ini maka mestilah
disuburkan dan dikekalkan. Ini supaya mendorong kita menolong orang yang
susah atau sanggup bersusah payah untuk berkhidmat dan berbakti pada
orang lain. Syariat juga menyuruh kita bersimpati atau bertimbang rasa
atau bertolak ansur pada orang. Sabda Rasulullah SAW:
"Khairu an-Nas anfa'uhum linnas"
Maksudnya: "Sebaik-baik manusia diantara kamu adalah yang paling
banyak manfaatnya bagi manusia yang lain". (HR Bukhari dan Muslim)
3. Rasa malu
Benih rasa malu dapat dikesan wujudnya dalam hati, lebih-lebih lagi bila
kita berbuat salah. Rasa malu bila orang lain tahu. Ini mesti disuburkan
supaya dapat membendung kita daripada berbuat salah, sekalipun
kesalahan-kesalahan dosa kecil, apatah lagi dosa besar. Ini juga
mendorong kita segera bertaubat apabila bersalah. Seterusnya ia akan
menyuburkan sifat jujur (berlaku benar), ikhlas dan amanah terhadap
Allah dan Rasul serta manusia seluruhnya.
4. Rasa sukakan ilmu pengetahuan
Benih rasa sukakan ilmu pengetahuan dapat dikesan ada dalam hati bila
ada perasaan ingin tahu, ingin pandai, ingin menyiasat, ingin memiliki
ilmu sepertimana orang yang sudah ada ilmu, ingin amalkan, ingin
membaca, mengkaji, menilai dan prihatin pada satu-satu perkara atau
ingin mencari pengalaman sebanyak-banyaknya. Bila didapati benih sifat
baik ini ada dalam hati maka suburkan dan dorong lagi supaya kecintaan
kepada ilmu bertambah. Ini bersesuaian dengan perintah Allah dan
Rasul-Nya. Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: "Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad."
Maksudnya: "Tuntutlah ilmu hingga ke negeri China, menuntut ilmu itu
wajib bagi setiap orang Islam." (Riwayat Ibnu Abdul Bar dari Anas)
Bertambahnya ilmu dan pengetahuan memberi kesan lahiriah yang baik pada
akhlak dan perbuatan seseorang itu seperti berani, pandai, berwibawa,
cakapnya bernas, hidup tidak buntu, kreatif dan lain-lain lagi.
Perlu diingat bahawa sifat-sifat yang baik yang disebut di atas tadi dan
banyak lagi sifat-sifat mahmudah lainnya itu, ia wujud bersama dengan
jasad lahir. Rasa-rasa itu semuanya tidak perlu dipelajari dan tidak ada
guru yang mengajarinya. Ia adalah perasaan semula jadi yang murni yang
ada dalam hati. Cuma waktu kecil ia tidak subur. Tetapi ia ikut dewasa
bersama dewasanya tubuh kasar.
Benih-benih sifat-sifat mahmudah tersebut mesti dikenal pasti dengan
menggunakan teropong mata hati serta dibantu oleh ilmunya. Kemudian
sifat-sifat baik ini hendaklah disuburkan, dipertajamkan dan didorong
lagi supaya kita dapat mengekalkan sifat-sifat mahmudah itu dalam diri.
Dengan itu lahirlah akhlak-akhlak yang baik, tindakan-tindakan yang
mulia dan perbuatan-perbuatan yang terpuji dalam kehidupan kita.
CONTOH SIFAT-SIFAT MAZMUMAH:
1. Rasa tidak senang (berdendam)
Benih-benih mazmumah rasa tidak senang atau tidak redha atau berdendam
dapat dikesan ada dalam hati di waktu kita diuji atau ditimpa bala. Sama
ada ujian-ujian itu berbentuk lahiriah atau maknawiah (batiniah).
Umpamanya:
a. Terasa tidak senang bila dikata nista, dihina, diumpat, difitnah.
Hati rasa marah, rasa dendam, rasa ingin hinakan orang itu semula. Ini
sangat merbahaya. Boleh mencetuskan pecah ukhwah, pecah belah, huru-hara
dan pergaduhan dalam masyarakat.
b. Terasa tidak senang atau menderita bila tidak ada duit, tidak ada
pangkat atau harta.
c. Terasa tidak senang bila diuji dengan sakit atau kematian orang yang
dikasihi.
d. Terasa tidak senang atau kecewa apabila orang-orang yang dikasihi
membuat ragam atau tidak bertanggungjawab.
Terasa tidak senang atau tidak redha dengan takdir Allah. Ini dapat
dikesan bila kehendak-kehendak atau hajat-hajat hati tidak tercapai.
Katalah kita hendak begian, dapat begian. Hendak banyak, dapat sikit.
Hendak pandai, tidak pandai-pandai juga. Hendak pangkat, jawatan, pujian
tapi tidak dapat-dapat. Barangkali kalau didorong sifat keji ini akan
timbul bimbang terhadap masa depan. Hati makin susah sebelum susah yang
sebenarnya menimpa. Misalnya hati merasa, "Bagaimana nanti kalau aku
sakit? Bagaimana kalau aku miskin? Kalau aku tak kahwin? Kalau aku tak
dapat anak? Kalau aku tak ada rumah? Kalau tak ada kebun selepas pencen?
Dan macam-macam hajat yang tak tercapai."Bila rasa tidak senang ini
disuburkan, ia boleh membawa kepada iri hati atau hasad dengki pada
orang lain. Dia tidak akan senang melihat ada orang yang dapat lebih
nikmat atau lebih senang daripadanya.
Setelah dikesan adanya rasa tidak senang atau tidak redha dengan
ketentuan Allah ini mestilah dikikisbuangkan, ditumpas dan dicabut. Jika
sifat-sifat ini tidak dibuang dan dibendung sebaliknya disuburkan, ia
akan jadi lebih parah lagi. Dia sentiasa keluh-kesah atau gelisah bila
berhadapan dengan sebarang ujian atau kesusahan. Ia menjadi seorang yang
pemarah, pendendam, tidak senang dan putus asa hingga timbul
akhlak-akhlak yang buruk atau perbuatan-perbuatan atau tindakan-tindakan
yang buruk yang merosakkan dirinya dan masyarakat. Maka hilanglah
kebahagiaan hidup.
Sebab itu dalam Islam disuruh redha dengan ketentuan Allah. Sifat tidak
redha ini sangat dibenci Allah dan Rasul serta seluruh manusia. Untuk
membendungnya ingatlah perintah-perintah Allah SWT.
Firman-Nya dalam Al Quran:
Maksudnya: "Hendaklah kamu katakan semua itu datang
daripada Allah." (An Nisaa': 78)
Maksudnya: "Janganlah kamu berputus asa daripada
nikmat Allah." (Yusuf: 87)
Ingatlah setiap perkara yang berlaku sama ada baik atau buruk,
hakikatnya daripada Allah. Ia ada hikmahnya yang tersendiri, yang
tersembunyi, untuk kebaikan dan manfaatnya pada diri kita kalau kita
pandai menerimanya. Sebenarnya ada rahsia yang kita tidak tahu. Mungkin
kalau kita dapat apa yang kita kehendaki, kita tidak bersyukur. Tentulah
ini berdosa. Boleh jadi ada orang lain pula yang hasad dengki dengan apa
yang kita dapat itu. Bukankah itu membahayakan diri kita? Kalau kita
sedar hakikat ini tentulah kita rasa bertuah dengan apa yang ada atau
apa yang Allah berikan.
Walaupun tidak memenuhi hajat kita namun tidaklah sampai rasa tidak
senang, yang mana bererti kita tidak senang dengan Allah, Tuhan yang
Maha Adil itu. Bila rasa tidak senang ertinya kita kufur dengan nikmat.
Itulah penzaliman terhadap diri yang kita lakukan setiap saat. Oleh itu
sifat keji ini hendaklah dikikisbuangkan. Kalau tidak, ia akan menjadi
dosa dan menerjunkan kita ke Neraka, wal'iyazubillah.
2. Rasa ujub
Benih rasa ujub ini dapat dikesan bila kita dapat nikmat lebih sama ada
lebih ilmu, lebih pangkat, lebih harta, lebih cantik, lebih pandai,
lebih bijak dan lain-lain kelebihan lagi. Waktu itu hati terasa
istimewa, terasa hairankan diri. Bila didorong lagi sifat keji ini akan
menjadi sifat riyak. Yakni timbul rasa ingin menunjuk-nunjuk. Seterusnya
bila disuburkan lagi berubah kepada sifat keji yang lain pula iaitu
sifat sombong. Yakni rasa bermegah-megah, rasa diri superman atau
superwoman, rasa hebat diri dan suka menghina orang lain.
Sifat keji ini bila didapati wujud dalam hati, maka mestilah ditumpaskan
dan dikikisbuangkan melalui proses mujahadatunnafsi. Ini kerana sifat
sombong atau takabur atau membesarkan diri sangat dimurkai Allah. Yang
mana ia merupakan pakaian Allah SWT yang tidak dibolehkan bersekutu pada
mana-mana makhluk-Nya.
Sombong ini boleh menimbulkan hilang ukhwah, hilang kasih sayang dan
benci-membenci. Akhirnya bergaduh dan timbul perpecahan, krisis, tegang
dan jatuh-menjatuhkan. Masyarakat jadi haru-biru dan porak-peranda serta
hilang kebahagiaan dan keamanan.
3. Rasa tamak atau bakhil
Benih rasa tamak ini dapat dikesan ada di hati bila kita melihat atau
ternampak nikmat. Waktu itu rasa hendak memiliki nikmat itu untuk jadi
hak milik sendiri. Iri hati kalau nikmat itu dipunyai oleh orang lain.
Rasa tamak dan haloba menyerang hati. Walau apa cara sekalipun dia akan
usahakan untuk memilikinya tanpa mengira halal atau haram.
Rasa hati di waktu itu rakus, gelojoh dan ganas. Dia tidak peduli sama
ada menyusahkan orang lain atau tidak. Melanggar hak asasi kemanusiaan
atau tidak. Pokoknya dia dapat walau apa cara sekalipun. Sifat keji ini
tersangat merbahaya. Ia boleh bertindak merampas, menipu, mencuri,
merompak, rasuah, merogol, berzina, bergaduh dan akhirnya berperang.
Penyakit ini perlu ditumpaskan dari awal lagi.
Bila dikesan ada rasa tamak, ia hendaklah ditumpaskan dan
dikikisbuangkan melalui proses mujahadatunnafsi. Ia sangat dibenci dan
menjadi musuh Allah dan Rasul-Nya serta seluruh manusia. Kemudaratannya
bukan setakat di dunia bahkan di Akhirat akan dicampak ke Neraka,
wal'iyazubillah.
4. Rasa takut
Benih rasa takut dapat dikesan wujud dalam hati bila berhadapan
berpangkat, lebih berpengaruh atau yang berbudi padanya dan lain-lain
lagi. Boleh jadi rasa takut ini juga disebabkan oleh inferiority complex
dengan makhluk.
Bila takut menguasai diri, dia akan hilang kebebasan dan kemerdekaan
diri. Kalau disuburkan rasa takut ini, tanpa sedar dia akan menganggap
makhluk lebih berkuasa daripada Tuhan. Terjebak dengan mentuhankan
makhluk tanpa sedar. Ini termasuk syirik khafi. Sifat keji ini tersangat
merbahaya. Ia mengakibatkan orang ini sanggup melanggar syariat Allah
dan Rasul serta menafikan kuasa Allah. Walaupun mulutnya mengatakan
Allah-lah yang berkuasa tetapi pada realitinya makhluklah tempat dia
rujuk, patuhi, taati dan takuti.
Ertinya, dia sudah bertuhankan makhluk atau bertuhankan manusia.
Contohnya, dia sembahyang, puasa, naik haji tetapi tunduk dengan
`tuan'nya bila disuruh jual atau beli atau minum arak. Katalah
dia tidak minum arak, cuma jual atau beli arak, tetapi kerana
`tuan'nya memberinya gaji, maka dia taat dan patuh. Walhal dia
tahu perbuatan ini jelas melanggar syariat Allah. Ertinya dia lebih
takutkan arahan manusia melebihi suruhan Allah SWT.
Oleh itu sifat keji ini hendaklah dihapus dan ditumpaskan daripada
bersarang di hati kita. Kalau perkara ini tidak dikaji dan diteliti,
sudah tentu tidak diketahui. Kikiskanlah dengan menanam rasa takut hanya
pada Allah. Rasakanlah Allah Maha Berkuasa, Maha Besar dan Allah-lah
Maha Kuat dan Maha Gagah daripada segala-galanya. Semua makhluk ini
sama-sama lemah di sisi Tuhan yang Maha Perkasa itu. Kalaupun makhluk
itu kuat atau berkuasa, hanya kerana dia diberi nikmat yang lebih
sedikit saja daripada orang lain. Tetapi dia tetap lemah dan tetap dalam
kuasa Tuhan yang Maha Berkuasa.
Allah telah mendidik kita agar hanya pada-Nya kita wajib takut dan
menghinakan diri. Ini kerana Allah-lah yang Maha Mencipta, Maha
Menganugerah, Maha Pemberi, Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan.
Allah-lah yang mengadakan dan mentiadakan sesuatu. Allah-lah yang
menentukan nasib makhluk. Allah-lah yang muassir (memberi bekas).
Selain-Nya semuanya tidak lebih gagah, tidak lebih besar dan tidak
memberi bekas apa-apa. Walaupun makhluk itu lahirnya kita nampak besar
dan hebat, gagah dan berkuasa tapi hakikatnya semua makhluk itu tetap
dalam genggaman Allah SWT.
Hanya empat sifat mazmumah saja yang kita kaji secara terperinci di
sini, yang merupakan sebahagian daripada sifat-sifat mazmumah yang
banyak itu. Perlu diingat juga bahawa sifat-sifat yang jahat ini
semuanya sudah wujud bersama lahirnya tubuh kasar. Rasa-rasa itu tidak
perlu dipelajari dan tidak ada guru yang mengajarinya. Cuma waktu kecil
ia tidak subur. Tetapi ia ikut dewasa bersama dewasanya tubuh kasar.
Oleh itu benih-benih sifat mazmumah dalam hati ini mesti dikenal pasti
di awal-awal lagi.
Dengan menggunakan teropong mata hati dengan dibantu oleh ilmunya,
sifat-sifat jahat ini mesti ditumpaskan dan dikikisbuangkan melalui
proses mujahadatunnafsi (yang akan kita bincangkan dalam bab akan
datang). Barulah sifat mazmumah ini dapat dikekang dan dikosongkan, yang
akhirnya sifat mahmudah dapat diisi dalam hati.
Di sinilah pentingnya mengkaji dan mengesan sifat-sifat roh (hati).
Supaya setelah kedua-duanya dikesan, yang mahmudahnya dapat disuburkan
dan yang mazmumahnya dapat dihapuskan. Barulah manusia itu kembali
kepada hakikat dirinya. Yakni hakikat manusia itu sendiri. Ini kerana
nilai diri manusia itu adalah pada sifat roh (hati)nya. Ia jadi penentu
yang mencorak kehidupannya dan manusia seluruhnya. Roh ini dikekalkan
untuk ditanya dan dipertanggungjawabkan di Akhirat nanti. Roh inilah
yang mukalaf. Ia yang akan merasai nikmat atau azab. Roh inilah juga
yang akan ke Syurga
AI Prompt Ace Review
Setahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan